Monday, June 11, 2012

Ahmad Said Nafi Tidak Serius Selesai Isu Bumbung Stadium Runtuh

Wahid Endut berucap pada perhimpunan 'Himpun & Ingat'...
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak ambil serius dalam menyelesaikan isu stadium runtuh sehingga kini masih belum selesai.

Menurutnya, kerajaan telah memberikan peruntukan sebanyak RM14 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beliau juga telah meminta JKR supaya mempercepatkan proses mengeluarkan tender agar dapat diselesaikan dengan segera.


Namun katanya, pihak JKR meminta tempoh sehingga Ogos bagi menyiapkan proses tender.

“Kita telah meminta JKRmempercepatkan proses dokumentasi tender, (kita) minta Jun tetapi mereka meminta sedikit tempoh, kita telah lama beri peruntukan.

“Mereka (JKR) menjanjikan paling cepat bulan lapan (Ogos),” kata-nya mengulas berkenaan dengan perhimpunan ‘Himpun dan Ingat’ di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Seminar Pemahaman Wasatiyyah & Gagasan 1Malaysia peringkat Negeri Terengganu, semalam.

Hadir sama, Menteri di JabatanPerdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Mengulas lanjut, Ahmad berpendapat apa yang dilakukan oleh pengikut parti politik itu adalah tindakan kurang bijak sehingga sanggup membawa anak kecil menyertai perhimpunan itu kerana ia tidak juga dapat menyelesaikan masalah.

Katanya, Kerajaan Negeri menerima laporan daripada JKR dan jika pembangkang juga ingin mengambil tindakan serta membuat siasatan perlu juga merujuk JKR kerana hanya mereka sahaja yang pakar serta bertanggungjawab dalam isu tersebut.
 
Dia juga menolak dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan keseluruhan struktur bangunan itu tidak selamat.

 “Kita telah lantik konsultan intergriti yang membuat semakan menyatakan dari segi struktur tiada masalah. Jika mereka mendakwa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak selamat dan mempunyai unsur rasuah, laporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biarlah jabatan itu menyiasat,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, Pas Terengganu tidak memberi jaminan sama ada akan memulihkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh sejak tiga tahun lalu atau sebaliknya jika berjaya mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU13).
 
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, pihaknya akan membuat kajian terlebih dahulu mengenai perkara itu kerana sehingga kini tidak mengetahui punca sebenar insiden itu berlaku.

Menurutnya, walaupun siasatan dijalankan beberapa pihak sebelum ini, namun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment