Wednesday, June 27, 2012

Bersih 3.0 - Polis Malaysia Siasat Diplomat Singapura

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dan meneliti laporan pembabitan tiga diplomat Singapura dalam perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara, pada 28 April lalu.

 Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas hasil siasatan dijalankan dan bentuk tindakan boleh diambil walaupun ada desakan daripada badan bukan kerajaan (NGO) supaya tiga diplomat itu dihantar pulang ke negara asal.


 “Setakat ini, kita tidak mahu mengulas lanjut mengenai pembabitan tiga pegawai kedutaan Singapura dalam perhimpunan BERSIH 3.0, tetapi siasatan masih dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Inovasi dan Penutup Peringatan Hari Polis Tahun 2012 di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak Kerajaan Singapura memanggil semula tiga diplomatnya dan digantikan dengan pegawai lain kerana mereka melanggar etika hubungan diplomatik antara dua negara.

Selain PERKASA, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) turut membuat desakan supaya tiga pegawai itu meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat negara ini kerana mencampuri hal ehwal negara.

Presidennya, Shafie Bakri dilaporkan berkata, pembabitan tiga diplomat itu jelas tidak menghormati undang-undang negara ini dan tidak wajar berlaku kerana tindakan berkenaan boleh mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua negara.

Kelmarin, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra berhubung pembabitan tiga diplomat negara itu dalam perhimpunan itu. Beliau dilaporkan berkata, tiga pegawai terbabit menghadiri perhimpunan itu bukan untuk memberi sokongan kepada penunjuk perasaan, sebaliknya atas kapasiti peribadi.

Di Kuala Lumpur, PERKASA mengadakan perhimpunan aman membantah pembabitan tiga diplomat itu dalam perhimpunan berkenaan.

Dalam perhimpunan dihadiri kira-kira 300 ahli PERKASA di hadapan pejabat sementara Suruhanjaya Tinggi Singapura di Menara The Icon, pertubuhan itu turut menyerahkan memorandum bantahan.

Antara lain, pertubuhan itu mendesak supaya tiga diplomat terbabit diusir dari negara ini selain Kerajaan Singapura perlu memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata pembabitan tiga diplomat terbabit menimbulkan persepsi Singapura melalui Suruhanjaya Tingginya mencampuri urusan dalaman Malaysia.

“Kita mengutuk dan mengecam keras pembabitan tiga diplomat itu pada perhimpunan BERSIH kerana ia bertentangan dengan Konvensyen Vienna iaitu negara merdeka harus menghormati satu sama lain.

“Ini (tindakan tiga diplomat itu) boleh membawa kesan negatif dan menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Singapura,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment