Saturday, June 2, 2012

Hoki Wanita - Terengganu Tidak Letak Harapan Tinggi

Pasukan hoki wanita Terengganu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada kejohanan hoki kebangsaan bagi merebut Piala Raja Noora Asyikin (Piala RNA) edisi ke-enam yang akan berlangsung di Seremban mulai 5 hingga 13 Jun ini.

Pengurus pasukan, Raznah Azizan berkata kebanyakan pemain yang akan diturunkan dalam kejohanan itu terdiri daripada muka baru dan mentah pengalaman dalam kejohanan seumpama itu.

"Penyertaan kami dalam kejohanan itu hanya sekadar untuk mencari pengalaman dan pendedahan kepada pemain-pemain muda. Sekiranya mereka berjaya mara ke suku akhir dan mendapat antara empat kumpulan terbaik, ini sudah cukup dianggap bonus buat pasukan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Raznah berkata kebanyakan pemain senior yang mewakili Terengganu dalam kejohanan tahun lepas tidak dapat bermain lagi pada musim ini kerana format kejohanan tersebut telah berubah dengan hanya membenarkan pemain bawah umur 22 tahun berbanding 23 tahun pada sebelum ini.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pasukan hoki wanita, beliau berkata pasukan itu menjalani latihan bersama pasukan hoki lelaki Terengganu bagi memilih 18 pemain yang akan disenaraikan mewakili pasukan itu selepas pemilihan penting hari ini.


No comments:

Post a Comment