Thursday, June 7, 2012

Parti Politik Dibenarkan Bentang Manifesto di RTM

 Inilah bangunan baharu Wisma Berita RTM yang terletak di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Parti-parti politik kini dibenarkan untuk membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah kertas Kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya diluluskan jemaah menteri.


“Oleh kerana hujah kita adalah berasas kepada Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan kebebasan bersuara, maka kertas Kabinet yang dibentangkan ini telah diterima.

”Nas yang terpenting di sini adalah apabila Dewan Rakyat dibubarkan atau mengikut lunas tempoh masa yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk berkempen, maka dalam masa berkempen inilah hak bagi menyuarakan manifesto parti- parti politik diberi menerusi RTM dan badan-badan penyiaran yang lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian berucap merasmikan Wisma Berita RTM dan pelancaran Portal Berita serta Arkib Digital di Angkasapuri di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, RTM melangkah setapak ke hadapan dalam penyiaran berita dengan adanya bangunan Wisma Berita RTM yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi.

Dr. Rais Yatim berkata, Wisma Berita RTM yang menelan belanja RM90 juta bakal menjadi platform kepada badan penyiaran itu untuk bersaing dengan media baharu

“Kini, generasi muda lebih tertarik mengikuti siaran di IT tv (internet) dan siaran percuma serta perkara yang berhubung dengan propaganda yang menyukarkan pertimbangan fikiran kita dalam keadaan sekarang,” katanya ketika merasmikan Wisma Berita RTM di Kompleks Angkasapuri semalam.

No comments:

Post a Comment