Tuesday, June 5, 2012

PKR, PAS Tingkat Kerjasama Tawan Terengganu

PKR dan Pas akan berganding bahu bagi meningkatkan kemaraan pembangkang di Terengganu selepas rundingan pembahagian kerusi diselesaikan di peringkat Pusat tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya PKR Terengganu, Abd Rahman Yusof berkata, pihaknya akan memastikan kerjasama itu dapat direalisasikan melalui peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Kita akan turut bersamasama Pas untuk memastikan PR mengambil alih Terengganu pada pilihan raya kelak sebaik sahaja rundingan pembahagian kerusi selesai,” katanya.

Mengulas mengenai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang yakin untuk merampas lima daripada lapan kerusi yang disandang pembangkang ketika ini, Abd Rahman tidak melihatnya sebagai perkara besar.

Walaupun Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pelbagai cara termasuk menabur projek tertentu dengan alasan untuk keselesaan rakyat, beliau melihat ia bukanlah perkara yang membimbangkan.

Jelasnya, BN tidak boleh mengelak bahawa mereka sebenarnya tidak mampu menunaikan segala perancangan yang dijanjikan.

“Kalau dilihat pada 2004, BN berjanji untuk melaksanakan projek lebuh raya dari Jabor ke Kuala Terengganu tetapi tidak terlaksana lagi, dan kita ingin tanya adakah lebuh raya itu akan siap menjelang pilihan raya, begitu juga dengan runtuhan bumbung stadium yang masih terbengkalai sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku disebabkan ketidakjujuran pihak terlibat untuk memastikan keselesaan sebenar rakyat.

Beliau turut tidak terlepas membuat perbandingan dengan Selangor yang memperlihatkan pengurusan kewangan lebih baik berbanding Terengganu akibat ketirisan melalui pelaksanaan projek tertentu.

“Banyak ketirisan yang berlaku dalam projek yang dilaksanakan di negeri ini dan perkara itu turut dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin kredibiliti calon yang dipertaruhkan PR akan memberi kesan positif terhadap perkembangan setempat sekiranya pembangkang berjaya menawan Terengganu.

Beliau tidak menolak, tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pemimpin terlibat dalam penyelewengan.

“Kita akan pastikan siapa terlibat dalam penyelewengan akan diambil tindakan dengan pantas sebab itulah kita memilih calon yang memiliki rekod baik,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment