Thursday, June 7, 2012

Purata Tiga Kes Curi Motosikal Setiap Hari - Jamshah

Purata dua hingga tiga kes curi motosikal berlaku di Terengganu setiap hari, penyumbang tertinggi kadar indeks jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata pecah rumah merupakan satu lagi penyumbang utama kepada kadar indeks jenayah di negeri ini.

 Katanya kegagalan pemilik motosikal menggunakan kunci pendua atau kunci tambahan di kenal pasti antara punca utama menyebabkan kes kecurian motosikal di negeri ini meningkat.


"Tanggungjawab dan kesedaran pemilik berkaitan kepentingan menggunakan kunci tambahan ini pastinya dapat mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri kerana berdasarkan kebanyakan kes sebelum ini, ia berpunca kerana tiadanya kunci pendua dilekatkan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam pada itu, Jamshah berkata Terengganu berjaya mencatatkan penurunan kadar jenayah kepada 1.47 peratus pada suku kedua tahun ini menjadikan negeri kedua terendah daripada segi laporan kes jenayah di seluruh negara selepas Perlis.

Katanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,472 kes membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dilaporkan berbanding 1,494 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Walaupun kes kadar jenayah menurun sedikit, tetapi kes yang membabitkan kecurian kenderaan dan pecah rumah masih tinggi." katanya.

No comments:

Post a Comment