Friday, July 13, 2012

20,000 Pelajar UiTM Sambut PM di Arena Square, Dungun Pagi Ini


Kira-kira 20,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh negara menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena majlis Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) di Arena Square, di Dungun hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini, tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sebelum diarak dengan kumpulan bermotosikal.

Ketibaan Najib diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Ir. Shahol Hamid Abu Bakar.

Selepas itu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis Kenduri Rakyat 100 Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di dataran tersebut yang turut dihadiri ribuan org dari segenap lapisan masyarakat.

Rosli berkata, warga Dungun sangat teruja dengan lawatan rasmi kali pertama Perdana Menteri ke daerah ini kerana berpeluang menatap wajah beliau secara dekat dan mendengar ucapannya.

Menurut Rosli, bagi jamuan rakyat, sebanyak 40 ekor lembu telah ditumbangkan dengan pembahagian tugas memasak kepada 20 JKKK.

"Hidangan istimewa kita ialah gulai kawah yang begitu sinonim dengan masyarakat Terengganu, selain sayur goreng, sambal belacan dan goreng ikan masin sebagai pembuka selera," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, dengan pesawat khas pada kira-kira 9.10 pagi ini untuk lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Ketibaan Najib disambut oleh Menteri Besar  merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional (BN) negeri.

Perdana Menteri dan Ahmad Said kemudiannya menaiki helikopter ke Dungun untuk memulakan agenda pertama dalam rangka lawatannya iaitu melancarkan program 'Mengubah Destini Anak Bangsa' bersama warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun dan masyarakat setempat di Dataran Arena, Dungun.

Pada tengah hari, Najib akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong, Marang sebelum menghadiri Majlis Jamuan Rakyat di padang bola Kampung Bukit Payong.

Pada petangnya, Perdana Menteri akan meneruskan programnya bersama kira-kira 20,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) seluruh negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, di Kuala Terengganu.

Beliau dijadual pulang ke ibu negara selepas majlis itu.

No comments:

Post a Comment