Kemenangan Terengganu dalam acara pecut 100m lelaki petanda negeri ini semakin melonjak dalam sukan olahraga. |
Terengganu kehilangan 21 emas menerusi acara kanu, selain tiga atlet berbasikal dan memanah yang terpilih ke Olimpik London.
Terengganu tercicir 12 emas menerusi acara kanu yang tidak dipertandingkan pada Sukma 2012, sementara sembilan pingat emas menerusi dua atlet memanah (Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim) dan pelumba, Adeq Hussainie Othman yang masing-masing menyumbang tiga pingat emas pada Sukma lalu.
Selain itu, Selangor yang cuba meleburkan dominasi Terengganu yang datang ke Sukma 2012 sebagai juara hatrik tidak mampu memungut pingat emas dalam acara gimnastik dan renang dan ini menjadi sedikit mudah untuk Selangor bersaing dengan Terengganu.
Apapun, itu bukan alasan.
Semalam Terengganu memintas Selangor beberapa ketika untuk menduduki tempat pertama dari segi kutipan pingat emas tetapi ia kemudian didominasikan oleh Selangor dengan kelebihan dua emas.
Terengganu memotong Selangor pada jam 5.30 petang semalam dengan 39 emas pada ketika saingan terdekar itu kekal 38 emas, namun kedudukan kutipan emas terakhir semalam ialah Selangor 41 dan Terengganu 39.
Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said menegaskan Terengganu belum mengaku kalah untuk mengekalkan kejuaraan malah berharap lebih banyak emas mampu diraih menerusi kejohanan olahraga yang membuka tirai semalam.
Bercakap pada sidang akhbar sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Taman Rahmat, Marang, petang semalam, Menteri Besar berkata, banyak acara yang sebelum ini tidak mensasarkan emas berjaya menambah koleksi kutipan pingat itu buat Terengganu termasuk sagu hati satu emas daripada acara karate dan dua emas berbasikal yang dihasilkan Ummi Hamimah Mohamad (200m pecut dan 500m ujian masa wanita).
“Ummi Hamimah bukan sasaran untuk mendapat emas, bagaimanapun, pelumba Terengganu itu membuktikan dia mampu menewaskan pelumba pilihan yang lebih senior daripadanya Jupha Somnet dari Perlis.
“Begitu juga dengan sepak takraw, Terengganu juga tidak jangka akan mendapat emas. Beliau juga berbangga dengan pencapaian atlet kapal layar yang gagal mendapat sebarang emas pada temasya terdahulu, apabila berjaya menyumbang tiga emas pada Sukma kali ini.
Atlet olahraga wanita Terengganu, Nur Fatin Adibah Suharman menambah satu lagi koleksi emas bagi acara merejam lembing yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pagi semalam.
Turut menarik ialah di gelanggang angkat berat terus menghadirkan detik cemerlang pada saingan Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang apabila buat kali kedua rekod kebangsaan berjaya dipadam menerusi kemenangan acara clean & jerk kategori 77 kilogram badang kelahiran Terengganu, Abd Mubin Rahim.
Abd Mubin yang juga atlet elit kebangsaan, berjaya mengangkat bebanan 171kg sekali gus memperbaiki rekod kejohanan, 165kg serta rekod kebangsaan 170kg milik bekas atlet angkat berat negara, Mohd Hidayat Hamidon.
Sebelum itu, Abd Mubin sekadar berjaya memperbaiki rekod kejohanan, 127kg bagi acara snatch dengan angkatan 128kg.
Meskipun berjaya memperoleh dua emas serta memecahkan rekod kebangsaan, atlet berusia 21 tahun itu kurang berpuas hati dengan pencapaiannya.
“Saya tidak puas hati dengan catatan snatch kerana ketika sesi latihan, saya sering melakukan angkatan sekitar 140kg, tetapi segala-galanya tidak menjadi.
“Situasi sama juga berlaku dalam acara clean & jerk sebab saya yakin mampu melakukan bebanan lebih daripada yang saya lakukan tadi, tapi apapun, saya tetap puas hati dengan pencapaian meraih dua emas,” katanya yang berjaya mengangkat bebanan keseluruhan 299kg.
Untuk ketika ini walaupun ketinggalan emas kepada Selangor, acara-acara seterusnya akan menyaksikan persaingan sengit antara atlet dua negeri yang bukan sahaja bersiap siaga untuk ke temasya ini tetapi juga menjanjikan pelbagai habuan menarik untuk atlet dan pegawai.
Dan jika Terengganu melakar sejarah sebagai pemenang kali keempat berturut-turut pastinya negeri lain akan juga berusaha gigih untuk menyaingi negeri ini pada temasya yang akan diadakan di Perlis tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment