Sunday, July 8, 2012

Sukma 12 - Menang Atau "Selamat Tinggal" Bagi Skuad Penyu


Ibarat aksi final, jika tewas skuad bola sepak Terengganu terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada Sukan Malaysia (Sukma) XV di Kuantan, Pahang hari ini.

Begitupun, juara bertahan, Terengganu dijangka menghadapi tugas getir pada pertemuan menentang Pulau Pinang dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Meskipun masih segar dengan kejayaan membelasah Sarawak 6-1 petang kelmarin, Sang Penyu kekal berwaspada dengan kejutan yang mungkin dilakar Pulau Pinang pada aksi di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu.


"Walaupun Pulau Pinang tewas kedua-dua perlawanan kumpulan sebelum ini, bagi saya mereka masih pasukan yang kuat. "Kami tetap menghormati mereka dan tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan.

"Paling utama, pemain percaya pada kekuatan diri sendiri untuk melakukan yang terbaik, namun pada masa sama enggan terlalu yakin sehingga menjerat diri sendiri," kata pengurus Terengganu, Marzuki Sulong semalam.

Untuk rekod, Terengganu yang dikejutkan tuan rumah, Pahang dengan kekalahan 0-3 pada Rabu minggu lepas kini mengutip tiga mata. Pahang yang mengutip enam mata maksimum selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 kelmarin pula hanya memerlukan keputusan seri dengan Sarawak dalam satu lagi aksi kumpulan hari ini untuk mara ke peringkat kalah mati.

Mengulas lanjut, Marzuki turut berharap kemenangan besar ke atas Sarawak petang kelmarin dapat menyuntik moral pemainnya memburu tiga mata hari ini.

"Nak menang, kita perlu hormat lawan kita. "Setakat ini, semua pemain berada di tahap terbaik dan semangat mereka juga tinggi untuk bermain.

"Jadi, saya harap anak buah saya dapat mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya

No comments:

Post a Comment