Wednesday, July 11, 2012

Terengganu, Juara Bertahan Terkeluar Daripada Saingan

Saingan suku akhir acara bola sepak, malam tadi dikejutkan dengan kekalahan 4-5 juara bertahan, Terengganu kepada Wilayah Persekutuan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan di Kuantan.

Kemenangan Wilayah Persekutuan itu sekali gus berjaya melunaskan dendam lama selepas tewas pada pertemuan separuh akhir edisi 2008 di Melaka dua tahun lalu untuk bertemu Perak di peringkat separuh akhir.
“Terengganu bukan pasukan mudah untuk dikalahkan. Kami lega sehingga melepaskan dua gol kepada pihak lawan selepas berjaya mendahului permainan 2-0.

“Kami pilih jalan sukar dan perlu melalui cabaran juga. Walaupun menang menerusi penalti, tapi saya bersyukur dan berterima kasih kepada pemain kerana mempamerkan komitmen sepanjang perlawanan,” kata jurulatih Wilayah Persekutuan, Razip Ismail, semalam.

Tuan rumah yang memasang impian ke separuh akhir menerima nasib sama dengan skuad Penyu apabila turut mengalami kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan merakamkan kemenangan menerusi Muhammad Nizam Ruslan pada minit ke-35 dan Mohamad Adam Syahir Rosli (minit ke-53).

Sementara itu, Perak akan berentap Wilayah Persekutuan selepas turut mencatatkan kemenangan 4-3 - juga menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0 manakala Sabah layak menewaskan Selangor 3-2.

No comments:

Post a Comment