Tuesday, July 10, 2012
Terengganu Kaji Hadkan Kedatangan Pelancong Ke Pulau Peranginan - Rahin
Kerajaan negeri Terengganu akan mengehadkan muatan barangan dan kedatangan pelancong ke pulau-pulau peranginan negeri ini dalam usaha memelihara alam semula jadi demi manfaat generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti beberapa aspek keperluannya sebelum ia boleh dilaksanakan.
Antara lain, jawatankuasa itu akan mengkaji kemungkinan mengehadkan barangan mengikut jumlah jam pengunjung berada di pulau-pulau berkenaan bagi menikmati alam semula jadi, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu semalam.
Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium tiga hari itu.
"Pendekatan kita pada peringkat awal ini adalah untuk memikirkan berapa jam dibenarkan berada di pulau dengan bermalam di tanah besar. Mungkin kita akan menyediakan pakej tiga hari satu malam iaitu dua hari di tanah besar dan satu hari di pulau.
"Ini kerana kita dapati penggunaan syampu yang berlebihan oleh pelancong, air kumbahan, baki makanan, sampah sarap dan sebagainya yang dibuang ke laut melalui air yang mengalir, merosakkan batu karang.
"Apabila sampah terlekat pada batu karang, ianya menghalang batu karang daripada mendapat cahaya matahari menyebabkan ia rosak dan mati selain daripada batu karang patah dipijak oleh perenang yang tidak profesional," katanya.
Pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini ialah Pulau Perhentian, Lang Tengah, Redang, Kapas serta Pulau Bidong yang dikawal oleh UMT.
Sementara itu, Dr Noor Azhar berkata, UMT sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Terengganu untuk membantu menyediakan dasar bagi memulihara kelestarian sumber aslinya.
"Jika diperlukan, kami memang bersedia untuk membantu dalam kajian menentukan jumlah muatan barangan yang dibawa ke pulau pada satu-satu masa dan apakah polisi dan undang-undang supaya sumber asli di sekeliling pulau sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya.
Mengenai simposium anjuran UMT itu, beliau berkata, simposium itu merupakan aktiviti utama untuk dijadikan sebagai platform bagi memajukan bidang sains kelestarian alam semula jadi.
No comments:
Post a Comment