Sunday, July 15, 2012

Terengganu Tagih Emas Daripada Hoki Sejak 1996 Hari Ini

Faizal menyumbangkan empat gol untuk membantu skuad hoki lelaki Terengganu menewaskan Pulau Pinang 5-4 di Stadium Hoki Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.
Jurulatih Terengganu, Nik Rozemi Nik Mohamed memberitahu, bahawa kehadiran penyerang antarabangsa, Faizal Saari menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu menewaskan Pulau Pinang 5-4 pada aksi separuh akhir acara hoki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 semalam.

Saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia Bandar Indera Mahkota, Kuantan itu menyaksikan Faizal menyumbangkan empat gol pada minit ke-6, 10, 28 dan 68.


"Kehadiran Faizal Saari dalam skuad Terengganu tahun ini sangat menjadi dan dia memang pemain utama kami hari ini," kata Nik Rozemi sejurus tamat perlawanan itu.

Bagaimanapun, kredit harus diberikan kepada Muhammad Firhan Ashari apabila berjaya menjaringkan gol 'emas' untuk membantu pasukan itu melakar kemenangan dramatik 5-4 pada minit ke-85.

Nik Rozemi berkata, kejayaan tersebut turut menjadi pembakar para pemainnya untuk menentang Wilayah Persekutuan pada aksi final hari ini. Ini kerana kemaraan ke final itu membuktikan kesempurnaan anak-anak buahnya untuk bangkit meskipun selepas Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada separuh masa kedua.

"Ini merupakan kali pertama skuad hoki Terengganu mara ke final sejak tahun 1996 dan akan cuba sebaik mungkin untuk menentang Wilayah Persekutuan hari ini," katanya.

Pulau Pinang berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Mohd. Khairul Naim Johari pada minit ke-39, Muhammad Rahimi Iskandar Baharom (42), Muhammad Azwar Abdul Rahman (58) dan Ahmad Tarmizi Ismail (64).

Sementara itu, Wilayah Persekutuan yang turut mara ke final selepas melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Johor dalam satu lagi aksi separuh akhir di lokasi yang sama.

Wilayah Persekutuan memperoleh jaringan menerusi Mohammad Ramadhan Rosli pada minit ke-32 dan 39, Amir Farid Ahmad Fuzi (40 dan 51) dan gol terakhir hasil sumbangan Mohd. Syamim Mohd. Yusof (60).

Kosmo

No comments:

Post a Comment