Thursday, August 9, 2012

60 Peratus Hotel Di Terengganu Miliki Sijil Halal JHEAT

Kira-kira 60 peratus hotel di Terengganu mempunyai sijil pengesahan halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh berkata sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya meluluskan 19 permohonan sijil halal baharu bagi dapur hotel.

"Tahap kesedaran orang ramai mengenai isu halal ini semakin bagus dan senario ini menyebabkan pemilik hotel terpaksa memohon sijil halal sebagai satu penambahbaikan dalam perkhidmatan yang mereka sediakan.

"Prosedur mendapatkan sijil halal JHEAT ini memang ketat dan bagi hotel yang telah memperolehinya, memang ia adalah satu tanda ukur kecemerlangan hotel itu sendiri," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Setiap permohonan lazimnya mengambil masa 30 hari untuk diproses selepas JHEAT menerima bayaran sebanyak RM200 bagi setiap dapur.

Mohd Rozali berkata walaupun sijil halal bukan perkara wajib, kebanyakan pemilik hotel terutama bukan Islam kini dilihat sangat prihatin dalam isu itu dan menjaga kualiti makanan yang disediakan.

"Sijil halal kini menjadi satu 'trademark' dan trend di mana hotel yang memilikinya pasti menerima banyak tempahan dari syarikat dan orang persendirian," katanya.

Ditanya mengenai aspek pemantauan, Mohd Rozali berkata JHEAT mempunyai 100 pegawai yang memantau aspek pematuhan sijil halal secara berkala.

No comments:

Post a Comment