Thursday, August 9, 2012

JPJ Pantau Jalan Maut Di Terengganu

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenal pasti tujuh jalan utama yang berisiko berlaku kemalangan sepanjang musim perayaan ini. Jalan yang terlibat ialah di kilometer 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 75 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 45 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (Kampung Tok Dor).

Selain itu Km 68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 3 Jalan Kuala Berang-Tanggol (Kampung Langgar), Km 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Sungai Ikan) dan Km 26.5 Kampung Wakaf Tapai Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.


Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata tujuh jalan maut itu akan dipantau sepanjang Operasi Penguatkuasaan Sempena Aidilfitri 2012 bermula 12 hingga 26 Ogos ini.

Tumpuan akan diberi di kawasan berkenaan kerana lokasi itu sering mencatat jumlah kemalangan maut yang tinggi setiap tahun, katanya selepas menjalankan pemeriksaan di depoh bas Adik Beradik di Manir di Kuala Terengganu, semalam.

"Kami akan meletakkan anggota bertugas di lokasi berkenaan bagi memastikan kehadiran kami disedari orang ramai, tetapi kami tidak akan membuat sekatan jalan sepanjang ops itu tetapi orang ramai tetap perlu berhati-hati kerana JPJ tetap akan mengarahkan pemandu berhenti bila diperlukan.

"Tujuh kesalahan yang diberi tumpuan ialah melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar," katanya.

No comments:

Post a Comment