Saturday, August 18, 2012

750 Pesakit HSNZ Gembira DiLawati MB, Isteri

Ahmad Said menyampaikan sumbangan hari raya kepada Ab. Samat Abd. Rahman yang menderita menghidap penyakit kanser dan paru-paru dijangkiti kuman di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, semalam.
Kesakitan yang ditanggung oleh 750 pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu terubat apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta beberapa pemimpin negeri pagi semalam.

AhmadSaid  turut diiringi isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang sempat meluangkan masa kira-kira dua jam melawat sambil beramah mesra serta dan menyampaikan sumbangan hamper kepada setiap pesakit.

Turut hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Puteri UMNO Perhubungan Terengganu, Nordiana Shafie.


Menteri Besar dan isteri meluangkan masa kira-kira dua jam untuk melawat sambil beramah mesra dan menyampaikan sumbangan hamper kepada seorang demi seorang pesakit berkenaan.

Seorang pesakit, Mohd Shahir Mohd Sufian, 20, dari Kampung Telaga Mengkudu, Kuala Terengganu, berasa teruja dan gembira kerana pertama kali menerima kunjungan Menteri Besar selepas kali ketiga dia dimasukkan ke HSNZ termasuk kali ketiga sejak lapan hari lalu.

“Saya gembira dan desas-desus mengatakan Menteri Besar akan mengunjungi pesakit di sini rupa-rupanya betul.

“Kunjungan ini sedikit mengubat duka ketika di kalangan kita sedang sibuk membuat persiapan hari raya. Bagaimanapun saya bersyukur kerana mungkin dapat pulang berhari raya di rumah pada Sabtu ini,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu lagi.

Sementara Ab Samat Abd Rahman, 56, yang terlantar di HSNZ sejak sebulan lalu akibat penyakit hati, paru-paru dijangkiti kuman serta tulang pinggul haus sedikit ceria apabila dikerumuni pelawat khususnya Menteri Besar yang meluangkan masa menziarahinya sambil bertanya perkembangan kesihatannya.

Guru Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin yang dijaga sepenuhnya oleh isteri, Maziah Che Daud, 47, bersyukur kerana mempunyai pemimpin yang prihatin serta sanggup meluangkan masa melawat golongan yang kurang bernasib baik sepertinya, apatah lagi pada musim semua umat Islam sedang sibuk menyambut hari raya beberapa hari lagi.

No comments:

Post a Comment