Saturday, August 18, 2012

Maklum Polis Sebelum Pulang Kampung Sepanjang Aidilfitri

Jamshah (tiga kiri) bertemu orang ramai dan peniaga sempena Program Walkabout di bazar Ramadan Bandar Marang sambil diiringi Ahmad Mazlan (tengah), kelmarin.
Penduduk di daerah Marang khususnya dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya ingin meninggalkan rumah untuk balik ke kampung halaman masing-masing, bagi tempoh panjang sempena sambutan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini termasuklah kejadian pecah rumah.


“Bagi mengelak kejadian seperti itu, mereka boleh datang sendiri ke balai polis dan mengisi borang meninggalkan rumah yang disediakan, menghubungi pihak polis dan meninggalkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pihak polis melalui sistem Rakan Cop.

“Mereka juga boleh memaklumkan kepada jiran sebelah rumah dan meninggalkan nombor telefon kepada jiran bertujuan bagi memudahkan mereka dihubungi jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Mazlan berkata demikian selepas mengiringi Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa bertemu orang ramai dan peniaga di bazar Ramadan Bandar Marang di Marang , sempena Program 'Walkabout' di bazar Ramadan berkenaan, kelmarin.

Dalam pada itu, Ahmad Mazlan juga meminta agar mereka yang pulang ke kampung halaman pada musim perayaan itu agar memastikan tidak meninggalkan barang berharga seperti barang kemas dan wang.

“Paling utama, jangan meninggalkan sebarang nota yang ditampal di pintu rumah yang menyatakan mereka tiada di rumah kerana balik ke kampung, tindakan itu akan menarik perhatian penjenayah untuk menceroboh,” katanya.

No comments:

Post a Comment