Friday, August 24, 2012

Umi Hamimah Buru Keputusan Terbaik Di New Zealand

Tanggungjawabnya bersama negeri kelahiran, Terengganu sudah selesai selepas berakhirnya Sukan Malaysia 2012 Pahang bulan lepas, sekarang Ummi Hamimah Mohamad mempunyai misi yang lebih besar iaitu beraksi cemerlang pada Kejohanan Trek Remaja Dunia di Invercargill, New Zealand.

Ummi Hamimah, 18, yang memenangi dua pingat emas di Pahang akan memulakan kempen dalam acara pecut 200 meter semalam.
 
Ia merupakan acara kegemarannya daripada tiga saingan yang disertai. Dia juga akan turun bertanding dalam ujian masa 500m, selain keirin.
Menurut Ummi Hamimah, dia teruja dapat beraksi pada kejohanan tersebut buat kali pertama walaupun terpaksa berkorban tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

"Saya ke New Zealand dengan membawa misi peribadi iaitu ingin melakukan catatan masa 12.7 saat dalam acara 200m kerana ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley meletakkan sasaran tersebut untuk membolehkan saya dipromosi menjadi pelumba elit.

"Saya sudah melakukan persiapan terbaik, malah saya dan dua lagi pelumba, Malek Marcus McCrone serta Muhammad Firdaus Suardi sudah tidak sabar untuk mengharumkan nama negara," katanya, yang menjalani latihan di Melbourne sebelum berangkat ke Invercargill.

Ditanya mengenai acara mana yang mampu menyerlahkan kehebatannya, Ummi Hamimah menjelaskan buat waktu ini ia sukar untuk dijangkakan dan ia hanya boleh diketahui ketika dia beraksi nanti.

"Saya mengakui latihan di Melbourne banyak membantu, saya akan sentiasa mengikut nasihat John, dia sudah meninggalkan saya dengan banyak tunjuk ajar sebelum berangkat ke Sukan Olimpik 2012 London.

"Saya harap dapat melakukan yang terbaik di New Zealand nanti, kerana sudah enam bulan saya menjalani latihan terbaik di Melbourne.

Saya mahu latihan yang saya lakukan sebelum ini berbaloi. "Di kesempatan ini saya mengharapkan sokongan dan doa rakyat Malaysia.

"Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam," kata pemenang pingat perak Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Remaja 2012 dalam acara pecut.

No comments:

Post a Comment