Tuesday, August 14, 2012

Kastam Terengganu Rampas Mercun Dan Bunga Api Sebanyak 220 Kilogram

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 220 kilogram dipercayai untuk dijual sempena Aidilfitri.

Kesemua barangan itu dirampas hasil penahanan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut, Rabu lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata pihaknya telah menjalankan intipan selama empat jam sebelum dapat mengesan kenderaan berkenaan yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api kira-kira pukul 8.30 malam.

Katanya hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 10 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenama dan turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun untuk siasatan lanjut.

"Kesemua nilai rampasan termasuk kenderaan terbabit ditafsirkan kira-kira RM30,000 dan ini merupakan rampasan kedua terbesar bagi tahun ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

No comments:

Post a Comment