Tuesday, August 14, 2012

Serikandi Agih 3,340 Pek Raya Kepada Anggota Pasukan Keselamatan Terengganu


Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) semalam menyampaikan 3,340 pek kuih raya kepada lima agensi keselamatan di negeri ini.

Yang Dipertuanya Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang juga isteri Menteri Besar Terengganu berkata aktiviti tahunan Serikandi itu bertujuan menghargai sumbangan anggota keselamatan yang sanggup berkorban demi memastikan keamanan negara.

"Pengorbanan mereka ini sebagai benteng hadapan pertahanan negara perlu kita hargai dan semestinya, kita berbangga dengan kekentalan jati diri mereka," katanya pada majlis penyerahan sumbangan hari raya kepada pasukan keselamatan di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Iman, di Kuala Terengganu.

Beliau berkata bagi tujuan penyerahan sumbangan itu, Serikandi turut menerima sumbangan wang tunai RM57,800 daripada pelbagai syarikat swasta.

Agensi keselamatan yang terlibat ialah pasukan Polis, Regimen Askar Melayu Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat dan Askar Wataniah.

Sementara itu, Terengganu Development Berhad (TDM Berhad), sebuah syarikat terbitan awam milik kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM50,000 Serikandi.

Pengerusi TDM Datuk Roslan Awang Chik berkata sumbangan itu diberikan kepada Serikandi bagi menyokong program amal tahunan mereka menyediakan kuih raya kepada anggota daripada lima agensi keselamatan sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Kami mengiktiraf khidmat dan pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara," katanya pada majlis penyerahan bungkusan kuih raya oleh Serikandi yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar itu.

Majlis penyampaian 3,340 pek makanan kuih muih tradisional itu disempurnakan Yang Dipertua Serikandi Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Agensi keselamatan terlibat ialah Polis Diraja Malaysia, Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Askar Wataniah.

No comments:

Post a Comment