Friday, August 24, 2012

KPDNKK Pantau Harga Walaupun Cuti, Beri Peniaga Amaran

Pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Terengganu tetap meneruskan tugas pemantauan harga barangan di seluruh negeri tanpa mengira cuti umum, kata Timbalan Pengarahnya, Ab Ghani Harun.

Menurut Ab Ghani umumnya ramai peniaga di negeri ini didapati cuba mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan bagi mengaut keuntungan pada musim perayaan.

"Mungkin ramai pihak terutamanya para peniaga menyangka kami bercuti dan sewenang-wenangnya menaikkan harga tanpa menyedari pihak kami sebenarnya sedang memantau kegiatan mereka," katanya di Besut, semalam.


Ab Ghani berkata semalam, pihaknya berjaya menahan empat pemandu lori tangki serta menyita keempat-empat lori mereka kerana melakukan kesalahan mencuri diesel dengan menjadikan satu tempat tersorok di Kampung Lak Lok dekat Jerteh sebagai lokasi penyimpanan bahan curi berkenaan.

Dalam kejadian pagi semalam, empat lelaki berumur antara 40 hingga 50 tahun ditahan kerana menyelewengkan minyak diesel dari lori tangki yang sepatutnya dibekalkan kepada stesen-stesen pam minyak di Kelantan dan kemudiannya menjualnya kepada pasaran gelap.

Cara mereka seleweng ialah dengan tidak menurunkan semua bekalan di stesen minyak terbabit dan menjual lebihan itu kepada pengusaha lori tangki persendirian yang turut ditangkap semalam, katanya

 Ab Ghani berkata pemantauan tertumpu di premis-premis perniagaan dan pasar-pasar di negeri itu.

Beliau berkata pengguna yang teraniaya dengan kenaikan harga melampau boleh membuat aduan di pejabat-pejabat cawangan atau di ibu pejabat negeri KPDNKK.

No comments:

Post a Comment