Daging lembu habis dalam masa tiga jam Hasan (kanan) semasa melawat gerai daging Fadli (tengah) di Pasar Tani Mega, Padang Hiliran, kelmarin. |
Pengarah FAMA Negeri, Hasan Jusoh berkata, antara pasar tani yang terlibat ialah Padang Hiliran, Kuala Terengganu; Kerteh dan Chukai, Kemaman; Alor Lintang dan Kuala Besut, Besut dan Kuala Ping, Hulu Terengganu.
Menurutnya, pelancaran pasar tani khas yang mula beroperasi kelmarin hingga hari ini dibuat untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat melalui jualan komoditi terpilih.
“Orang ramai boleh mendapatkan harga 5 hingga 40 peratus lebih rendah di pasar tani terpilih berbanding di tempat lain bagi sayuran-sayuran segar seperti cili merah, kubis bulat, tomato, terung dan kacang panjang.
“Turut tersenarai ialah kentang, bawang merah kecil, bawang putih, kelapa, ayam, daging lembu dan kambing serta ikan. Operasi bermula dari jam 8 pagi hingga 1 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pasar Tani Khas Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Pasar Tani Mega, Padang Hiliran, kelmarin.
Sementara itu, sebanyak 300 kilogram (kg) daging lembu segar habis dijual hanya dalam tempoh tiga jam di Pasar Tani Mega, itu semalam.
Seorang peniaga, Mohd Fadli Hisam Che Lah, 30, berkata, jika hari biasa dia hanya menjual sekitar 200 kilogram daging lembu sahaja, tetapi pada musim perayaan dia perlu menambah jualan bagi memenuhi permintaan.
Menurutnya, dia terpaksa menambah lebih kurang 100kg lagi daging bagi memenuhi permintaan pelanggannya. “Bermula jam 7 pagi tadi, sehingga jam 11 pagi, sebanyak 300kg daging telah dijual dan saya terpaksa menambah 100kg lagi untuk pelanggan.
Selain daging biasa, daging batang pinang adalah yang paling digemari dan harganya sama dengan daging segar biasa iaitu RM22 sekilogram. “Kebanyakan daging yang dibeli hari ini (semalam) adalah untuk hidangan berbuka, kerana untuk hari raya, biasanya dibeli paling awal dua atau satu hari sebelum untuk rasa lebih enak,” katanya.
Katanya, selain menjual daging lembu, turut dijual ialah tulang pada harga RM17 sekilogram , hati (RM22), paru (RM17), limpa (RM22), daging cincang (RM10), perut (RM10) dan daging kambing dengan harga RM30 sekilogram. Daging yang dijual di pasar tani adalah RM22, iaitu lebih murah berbanding di luar, dijual dengan harga RM23 hingga RM24.
“Terdapat tiga peserta yang menjual daging lembu di pasar tani hiliran ini. Bersempena dengan bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi, kita (Fama) telah meminta mereka menambah bekalan daging daripada biasa.
“Ramai yang suka membeli daging di pasar tani kerana ia lebih bersih, iaitu tiada lemak. Harganya lebih murah, iaitu hanya RM22 sekilogram, berbanding di luar sekitar RM23 hingga RM24. Manakala di Pasar Tani Besut, harganya hanya RM20 kerana dekat dengan sumber bekalan,” katanya.
No comments:
Post a Comment