Friday, August 17, 2012

Satu Bekal Air Kepada Warga Miskin

"Saya tidak dapat gambarkan betapa bersyukurnya saya setelah rumah saya dibekalkan air percuma oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri".

Itulah kata-kata Nipis Hassan, 67, seorang warga emas yang tinggal sebatang kara di Kampung Kubang Panjang di Kuala Terengganu setelah sekian lama tidak mempunyai bekalan air kerana tidak mampu berbuat demikian.

Nipis yang cacat penglihatan, sebelum ini mendapatkan air bersih melalui sambungan wayar dari rumah sepupunya yang berdekatan.

"Saya tidak mampu masukkan bekalan air ke kediaman saya kerana saya tidak mempunyai punca pendapatan lain selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rumah kediaman saya inipun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang dirikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika dikunjungi Ketua Pegawai Eksekutif Satu Husain Embong berikutan pelaksanaan kerja-kerja penyambungan paip air ke rumah Nipis di Kuala Terengganu semalam.

Turut Hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Alor Limbat Alias Abdullah. Sementara itu Husain berkata pihaknya merasa terpanggil apabila mengetahui tentang kesusahan kehidupan Nipis yang tidak mempunyai kemudahan asas utama iaitu bekalan air bersih.

"Satu bukan sahaja membekalkan air kepada seluruh penduduk, malah ia juga prihatin dan cakna kepada masalah kehidupan masyarakat yang kurang bernaib baik seperti Nipis ini.

"Jadi program yang kita jalankan ini merupakan tanggungjawab sosial Satu bagi meringankan beban kehidupannya dan merasai nikmat seperti orang lain," katanya.

Husain berkata SATU bukan sahaja menyambung bekalan air dari paip besar ke rumahnya, malah turut memasang paip di sinki, tandas dan sebagainya.

Beliau berkata oleh kerana Nipis tinggal sendirian, Satu menjangkakan ia tidak menggunakan air melebihi 20 meter padu sebulan yang bayaran bil minimanya sebanyak RM4.

Katanya ini merupakan program kedua pemasangan paip air secara percuma kepada orang miskin. Beliau berkata program pertama ialah membantu memasang paip untuk dua keluarga di Pulau Perhentian yang rumah mereka terlibat dalam kebakaran awal tahun ini.

"Kita tidak ada peruntukan khusus untuk program seperti ini. Namun kita boleh pertimbangkan jika ada kes-kes yang melibatkan orang miskin dan daif yang memerlukan bantuan," katanya.

Husain berkata pihaknya juga sedang menimbang untuk membantu membina sebuah rumah kediaman warga miskin di kawasan Alor Limbat.

Bagaimanapun Satu belum putuskan jumlah peruntukan yang akan disediakan.

No comments:

Post a Comment