Meskipun berdepan misi sukar mencari kemenangan pertama dalam saingan kumpulan D Piala Malaysia, jurulatih T-Team tidak mahu pemainnya berputus asa malah mahu mereka terus berjuang menghidupkan peluang merebut slot ke pusingan suku akhir.
Skuad kendalian Yunus Alif ini gagal mencari rentak kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini setelah kalah kepada Pahang, diikat Sarawak dan tumbang di gelanggang sendiri kepada Selangor.
Ini bermakna liku perjalanan mereka pastinya terarah mencari kemenangan di kesemua perlawanan terakhir pusingan kedua peringkat kumpulan untuk menceriakan kembali penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
"Saya percaya peluang pasukan (T-Team) masih terbuka dan pemain-pemain perlu bekerja lebih keras bagi memastikan T-Team terus berjaya pada pusingan kedua peringkat kumpulan nanti.
"Saya tidak mahu ada dalam kalangan pemain bermain sambil lewa dan tiada semangat. Kita bermain sebagai pasukan, maka saya harap mereka hadapilah perlawanan yang mendatang dengan bersungguh-sungguh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya T-Team akan turun habis-habisan bagi memastikan mereka berjaya Sabtu ini dan juga dua lagi perlawanan iaitu menentang Sarawak di Kuching pada 4 September dan Pahang di Kuala Terengganu, 14 September.
T-Team kini menduduki tangga tercorot kumpulan D dengan satu mata.
No comments:
Post a Comment