Sebanyak 18 acara akan mewarnai sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-50 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bermula esok sehingga 21 Okt depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata acara tersebut akan berlangsung di Kuala Terengganu, Marang, Kemaman dan Setiu bagi meraikan Hari Keputeraan Sultan Mizan, pada 20 Julai, setiap tahun.
Katanya acara akan dimulakan dengan majlis solat hajat, bacaan Yassin dan tahlil di Masjid Tengku Tengah Zaharah dan semua masjid di seluruh negeri.
"Acara utama kita adalah pada 30 Sept iaitu istiadat penghadapan, istiadat pengurniaan gelaran, bintang-bintang kebesaran negeri di Istana Maziah," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Pertunjukan bunga api dan bot berhias juga akan diadakan di Dataran Syahbandar, pada 6 Okt depan yang dijangka menjadi acara kegemaran rakyat Terengganu, katanya.
"Tidak ketinggalan acara tahunan, kejohanan kuda lasak Piala Sultan Mizan akan membuka tirainya pada 19 Okt di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, Setiu," tambah beliau.
No comments:
Post a Comment