Thursday, September 27, 2012

ABC - Ahmad Said Minta Peminat Tidak Demo Sabtu Ini

Peminat bola sepak Terengganu dinasihatkan agar tidak meneruskan hasrat mengadakan demonstrasi bagi mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletakkan jawatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, mahu penyokong setia skuad Penyu itu agar tidak terus menyalahkan pengurusan persatuan berikutan prestasi hambar pasukan Terengganu musim ini.

Menurutnya, penyokong Terengganu sewajarnya tidak terlalu emosional sehingga mudah menuding jari dan menyalahkan pihak lain khususnya pengurusan PBSNT apatah lagi ketika pasukan itu tewas kepada pasukan lawan.


“Tak payah lah buat demonstrasi, kita ada benda lain yang lebih penting perlu dilakukan, hidup kita ibarat roda dan kita tidak boleh menyalahkan pengurusan semata-mata.

“Mungkin kita tak bernasib baik musim ini, tetapi penonton biasalah, mereka terlalu emosional. Bila kalah nak menyalahkan orang lain, bila menang diam,” katanya ketika mengulas hasrat penyokong untuk mengadakan demonstrasi berhampiran kediaman rasmi Menteri Besar, Sabtu ini bagi mendesak pengunduran Che Mat.

Selain itu, penyokong skuad Penyu turut melancarkan kempen ABC yang memberi maksud ‘Asal Bukan Che Mat’ bagi tujuan memberi laluan kepada orang lain bagi memikul tanggungjawab sebagai presiden persatuan itu.

No comments:

Post a Comment