Sebanyak 26 pasar raya dan pasar borong di seluruh Terengganu menyatakan komitmen untuk menurunkan harga barang antara 10 dan 40 peratus bermula 1 Okt ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata kempen itu melibatkan kira-kira 100 jenis barang makanan antaranya ayam, ikan, minyak masak, gula, makanan bayi dan beras.
Antara pasar raya dan pasar borong yang terlibat ialah Kumpulan Pasaraya Econjaya, Pasaraya Pantai Timur, Tunas Manja, Emporium Hock Kee Seng, Astaka Shopping Centre, Sabasun dan Mydin Wholesale Hypermarket, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu.
Beliau berkata kempen itu akan berlangsung antara 30 hari dan tiga bulan.
Kempen bertujuan meningkatkan daya beli pengguna selain mengurangkan beban mereka, katanya.
Jika dapat sambutan pengguna, kita akan kaji untuk lanjutkan tempoh, katanya yang ditemui selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga peringkat negeri di Kuala Besut.
Katanya kempen itu adalah yang kedua selepas kempen pertama selama sebulan pada April lepas yang membabitkan sembilan pasar raya.
"Kempen kali ini hanya membabitkan barangan berasaskan makanan dan kita merancang untuk mengadakan kempen penurunan harga bagi pakaian dan perabot tidak lama lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment