Thursday, September 27, 2012

Terengganu Harap Belanjawan 2013 Rancakkan Pembangunan Di ECER

Menteri Besar menjawab soalan wartawan mengenai harapan terhadap Bajet 2013
Kerajaan Negeri Terengganu berharap Belanjawan 2013 yang akan dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok (Jumaat), akan merancakkan pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat akan memperolehi kemudahan seperti pengangkutan lebih baik dan limpahan ekonomi yang besar hasil daripada kerancakkan pembangunan di kawasan itu.

"Kita harap Belanjawan 2013 dapat fokuskan kepada beberapa sektor penting di ECER seperti petroleum dan pelancongan," katanya menjawab soalan pemberita di Kuala Terengganu selepas mesyuarat Exco semalam.

ECER melibatkan tiga negeri, iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang serta Daerah Mersing, Johor, yang merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 kilometer persegi dan melibatkan 3.9 juta penduduk.

Ahmad berharap Belanjawan 2013 nanti akan turut membantu meringankan beban hidup yang ditanggung rakyat.

"Kita tengok sekarang misalnya harga barang semakin tinggi jadi harapan saya Belanjawan 2013 dapat membentuk satu mekanisma bagi membantu rakyat mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau turut berharap Belanjawan 2013 nanti akan memberikan peruntukan kepada pembinaan dua projek di bandaraya Kuala Terengganu iaitu Projek Terengganu Bypass dan jalan bertingkat persimpangan Seri Iman di Kuala Terengganu.

 "Dua projek ini merupakan projek yang dapat melancarkan pengaliran trafik, terutamanya melibatkan pengguna jalanraya dalam perjalanan ke Kelantan dari Pahang atau arah sebaliknya.

"Saya percaya ia juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan rancak di Kuala Terengganu sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment