Thursday, September 27, 2012

Busu Bahagia Miliki Tiga Isteri Terima Anugerah Khas


Busu (empat kanan) bersama tiga isterinya bergambar bersama ahli panel dan jawatankuasa program.
Membina mahligai bahagia bersama tiga orang isteri bukan satu halangan untuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melaksanakan tugas sebaik mungkin sehingga melayakkan beliau menerima Anugerah Khas Pemimpin Masyarakat Keluargaku Bahagia.

Memegang jawatan sebagai Pengerusi JKKK Pantai selama 12 tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek namun kepercayaan penduduk di kawasan berkenaan terhadap kewibawaannya mengukuhkan lagi kedudukan itu. Busu Yaacub, 67, mempunyai 13 anak dan 24 cucu menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan baik walaupun terpaksa membahagikan masa bersama isteri pertama, Fatimah@Dayang Muda, 67, isteri kedua, Zainun Abu Bakar, 57 dan isteri ketiga, Aminah Ibrahim, 47.


“Sekiranya saya perlu ke luar negeri atas urusan kerja, ketiga-tiga isteri akan ditinggalkan di kampung supaya memudahkan pergerakan saya selain tidak mahu ada yang berkecil hati.

"Alhamdulillah mereka (isteri) memahami komitmen kerja saya dan sentiasa memberi sokongan dalam setiap tugasan yang perlu dilakukan,” katanya pada Forum Perdana Cakna Keluarga Indahnya Hidup Berkeluarga di Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Terengganu kelmarin.

Forum anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bandar turut dihadiri ahli panel seperti Muhammad Ramli Nuh dan Datuk Siti Nur Bahyah Mahmood bagi mengupas isu kekeluargaan.

Menurut Busu walaupun dia mempunyai kelebihan menguruskan keluarga dan tugas denagn baik namun dia tidak menggalakkan anaknya untuk berkahwin lebih daripada seorang.

“Saya tidak pernah memberi galakan kepada anak untuk menjejak langkah saya agar berkahwin lebih daripada satu tetapi sekiranya sudah ditakdirkan, saya menerimanya dengan reda,” katanya.

Walaupun dia mengakui bahagia dengan kehidupannya kini, namun itu bukan untuk diikut tetapi sekadar menganggap ia sebagai suratan Ilahi.

“Saya senang dengan komitmen hidup berkeluarga sekarang dan dengan izin ALLAH SWT saya diberi ketenangan untuk mengharungi rumah tangga ini malah sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur.

“Isteri-isteri serta anak dan cucu juga amat rapat menyebabkan kami sering berkumpul terutamanya ketika bercuti dan menghadiri sebarang majlis atau kenduri,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment