Saturday, September 15, 2012

Rumah Perantaraan Banduan Selepas Menjalani Hukuman

Jabatan Parol Terengganu kini menyediakan sebuah rumah perantaraan sebagai kemudahan penginapan kepada banduan tidak mempunyai rumah atau tidak diterima keluarga selepas selesai hukuman.

Timbalan Pengarahnya, Yusri Abd Kadir berkata, rumah terletak di Pasir Panjang itu mula beroperasi sejak Februari lalu dan satu-satunya rumah perantaraan di Terengganu.

Menurutnya, kerajaan mewujudkan rumah tersebut untuk menempatkan mana-mana bekas banduan yang tidak diterima keluarga selepas keluar penjara atau ingin ‘lari’ dari kegiatan lama mereka.


“Rumah ini boleh menempatkan 14 orang pada satu masa dan mereka hanya boleh tinggal di sini selama tiga bulan saja.

“Dalam tempoh itu, makan minum mereka ditanggung dan kita akan membantu mencari peluang pekerjaan untuk mereka hidup berdikari,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Aidilfitri Pejabat Parol.

Mengulas lanjut Yusri berkata, sehingga kini terdapat 20 pesalah sedang mengikut sistem parol di Terengganu dan mereka mampu mematuhi setiap undang-undang parol yang ditetapkan.

Malah katanya, majoriti Orang DiParol (ODP) dapat memulakan kehidupan baru dan menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling selepas selesai menjalani perintah parol walaupun pernah melalui sejarah hitam.

“Mereka tidak lagi mengulangi kesilapan lalu dan berusaha baiki diri dengan mencari pekerjaan halal sama ada menjadi pembantu kedai makan, mencuci kereta ataupun dalam bidang pembuatan mengikut kemahiran masing-masing.

“Sistem parol ini membantu orang yang diparol menjalin hubungan dengan keluarga, masyarakat dan majikan sekaligus membantu mereka menjalani kehidupan dan tidak kembali melakukan kesalahan,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment