Thursday, September 20, 2012

Anggota Polis Ceritakan Saat Cemas Banduan Melarikan Diri

Kereta Polis yang dipandu Konstabel Filyx terbabas...
"Dua kali banduan itu tendang muka saya menyebabkan saya gagal mengawal kereta dan terbabas," kata Konstabel Filyx Lansaver anak Jinol yang memandu kereta polis untuk menghantar banduan itu ke penjara Penor.

Menceritakan detik cemas yang dialami sebelum banduan yang dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan kerana kesalahan dadah itu melarikan diri, beliau berkata banduan yang duduk di bahagian belakang kereta itu bersama seorang lagi anggota polis, secara tiba-tiba bertindak agresif dan menendang mukanya yang sedang memandu.

"Tindakan banduan itu yang tiba-tiba menendang muka saya menyebabkan saya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan tidak sedarkan diri seketika," kata Filyx Lansaver, 25, yang patah paha kanan akibat kemalangan itu.

Kejadian itu menyebabkan kereta Proton Waja yang dipandunya terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid di Kuantan.

Beliau yang ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan , berkata dalam keadaan separuh sedar beliau melihat banduan terbabit melarikan diri.

"Saya juga nampak banduan itu menendang dan bergelut dengan Kpl Abd Rashid Ahmad, 51, (penumpang hadapan) dan Kpl Zulhairi Ramli, 24.

Saya sungguh tidak sangka banduan itu bertindak begitu agresif," katanya yang masih bujang dan berasal dari Sarawak.

Beliau yang hampir tiga tahun berkhidmat di Terengganu, berkata banduan itu seperti hilang akal ketika mula-mula bertindak agresif sebelum menendangnya.

"Saya ditendang dua kali, mula-mula di bahagian pipi menyebabkan saya menoleh ke belakang memandangnya kemudian ditendang tepat ke muka," katanya.

Sementara itu Norliyati Abdul Rahman, 43, isteri kepada Abd Rashid, berkata beliau dimaklumkan mengenai kemalangan melibatkan suaminya itu pada pukul 2 petang.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi semalam, tiga anggota polis parah selepas kereta polis yang membawa banduan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang itu hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan dekat Taman Dato Rashid.

Banduan yang melarikan diri itu berjaya ditahan semula pada pukul 10.25 malam tadi ketika dia meminta minuman dan makanan dari penduduk Taman Dato Rashid.

No comments:

Post a Comment