Sunday, September 23, 2012
Emosi Siapa Tentukan Nasib Butler, Pemain Sang Penyu?
"Jangan terlalu cepat menghukum." Itu nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika diminta mengulas isu hukuman terhadap jurulatih Terengganu, Peter James Butler oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) baru- baru ini.
Tengku Abdullah turut menzahirkan rasa bimbang dengan fenomena sukan negara pada masa kini yang dilihat baginda bertindak mengikut emosi.
Jadi emosi siapakah yang menjatuhkan hukuman terhadap Butler serta pemecatan dan 'perlindungan' terhadap pemain seperti Francis Frankie Doe, Ismail Faruqi, Mohd Muslim serta Sharbinee Alawee dalam Skuad Penyu?
Apakah 'ketegasan' Butler menyebabkan beliau dikenakan hukuman keras dan beberapa pemain pula dikatakan 'dilindungi' berdasarkan emosi dan kepentingan tertentu?
Jawatankuasa Tatatertib PBSNT baru-baru ini mengumumkan pengantungan enam bulan terhadap Butler dan didenda RM4,000 kerana membuat kenyataan kepada media berhubung masalah disiplin dua pemain skuad itu, iaitu Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha‘ari tanpa pengetahuan PBSNT.
Akibatnya, khidmat Butler bersama Terengganu secara automatik telah ditamatkan kerana mengikut peraturan FAM, pemain dan pegawai bola sepak akan terbatal kontrak jika mereka digantung lebih 30 hari.
Semalam, blog ini melaporkan, perkembangan terbaru berhubung kes Peter Butler cukup menarik selepas pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kelmarin.
Butler yang sudah menerima surat pemecatan dan pengesahan penggantungan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak boleh memberitahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu.
Ahmad Said mengatakan sebelum ini beliau mempunyai cara tersendiri mengatasi kemelut yang melanda pasukan Terengganu.
Malah ada laporan mengatakan Ahmad Said tidak berpuashati dengan beberapa cara dan keputusan PBSNT mengatasi kemelut yang melanda pasukan Terengganu.
Ada juga laporan mengatakan Menteri Besar kurang senang Butler digantung. Beliau diakatakan membayangkan ia bukan cara yang diharapkannya untuk menyelesaikan kemelut yang melanda skuad negeri itu.
“Saya ada cara saya sendiri bagaimana mahu menyelesaikan perkara ini untuk tindakan seterusnya. Jadi usah membuat sebarang spekulasi," katanya di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata, adalah tidak adil beliau membuat apa jua andaian tanpa meneliti laporan penuh keputusan yang dibuat oleh PBSNT terlebih dahulu. “Saya tak mahu komen pasal keputusan itu dan buat masa ini saya akan tunggu laporan penuh dahulu," katanya.
Tengku Abdullah bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Johor Bahru semalam berkata: “Saya tidak begitu suka melihat mana-mana pihak yang menjatuhkan hukuman tanpa kita berusaha memperkukuhkan kelemahan yang terdapat dalam sistem kita ini.
"Banyak pihak yang terlalu beremosi dalam sukan terutama bola sepak tetapi itu tidak bermakna kita boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan emosi," katanya.
Menurut Tengku Abdullah, dalam kes Butler, baginda percaya jurulatih kelahiran England itu telah menjalankan tugasnya sekadar mampu dengan menyatakan apa yang benar.
Katanya, perbuatan Butler mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa balik perempuan ke bilik tempat mereka menginap ketika berada di Kedah pada 1 September lalu tidak lari daripada skop tugasannya sebagai jurulatih.
"Jurulatih tersebut (Butler) telah membuat sekadar mampu dan menyatakan apa yang sebenar. Namun, jika itu didapati bersalah, mungkin sukar untuk mencari juru- latih lain yang dapat bertindak sedemikian (mengawasi pemain)," katanya.
Bagaimanapun Tengku Abdullah menjelaskan, FAM akan mengkaji semula keputusan PBSNT sekiranya Butler membuat rayuan kepada badan bola sepak induk negara itu. "PBSNT mempunyai kuasa untuk membuat keputusan yang dirasakan terbaik buat pasukan dan itu adalah hak mereka.
"Namun, keputusan tersebut pasti ada implikasi dan mungkin Butler akan membuat rayuan. "Sekiranya FAM menerima surat rayuan tersebut, kami akan perhalusi," katanya.
No comments:
Post a Comment