Saturday, September 1, 2012

Hayati Erti, Makna Tersirat Kemerdekaan Sebenar - Ahmad Said


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu semua lapisan masyarakat, terutama generasi muda diminta memahami dan menghayati erti kemerdekaan sebenar yang sememangnya penuh makna tersirat.

Beliau berkata merdeka cukup bermakna dan mahal harganya bagi mereka yang memahami, ibaratkan ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Harta yang cukup berharga adalah merdeka, tanpanya kita tidak mampu mengecapi keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara. “Oleh itu, marilah kita bersama-sama merencanakan hasrat Malaysia untuk melahirkan rakyat berdaulat di mana sanggup berjuang demi memartabatkan maruah bangsa dan tanah air kita selamanya,” katanya.






Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 2012, peringkat negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah: Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Panglima Markas Briged Kelapan Infantri, Briged Jeneral Dato’ Mohamad Zaki Hamzah. Tetamu kehormat lain Ketua Polis Negeri SAC Datuk Jamshah Mustapa dan beberapa Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat dan pemimpin setempat.


Sebanyak 120 pasukan melibatkan lebih 5,000 peserta daripada pelbagai jabatan dan sekolah menyertai perbarisan sempena sambutan hari kebangsaan yang bertemakan `Janji Ditepati’.


Pasukan itu berarak sepanjang tiga kilometer dengan melalui Jalan Sultan Ismail, Bulatan Ladang, Jalan Pantai Batu Burok dan berakhir di dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri berpuashati dengan sambutan pada kali ini, cukup meriah dan pasukan perbarisan yang mengambil bahagian bersemangat melaungkan merdeka dan slogan masing-masing.

Sementara itu pasukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diumumkan sebagai juara keseluruhan bagi pertandingan Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 2012, peringkat negeri Terengganu semalam.


Ia layak membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala.

Juara bagi kategori-kategori lain, pancaragam sekolah-sekolah menengah dimenangi pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin; pasukan sekolah menengah tidak beruniform (Sekolah Menengah Agama Khairiah); jabatan kerajaan tidak beruniform (Jabatan Kemajuan Masyarakat).


Kategori yang diumumkan juara adalah pasukan badan berkanun tidak beruniform dimenangi MBKT; pasukan jabatan kerajaan dan badan berkanun beruniform (Jabatan Pertahanan Awam) dan pasukan beruniform sekolah adalah Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.

Pasukan yang diumumkan juara setiap kategori layak memenangi wang tunai RM4,000, naib juara (RM3,000) dan tempat ketiga pula RM2,000.

Teganukita

No comments:

Post a Comment