Saturday, September 15, 2012

Kerajaan Terengganu Yakin PPP Lonjakkan Pendidikan Negara

Ahmad Said melayan tetamu sambutan Hari Raya Pesara Kerajaan, Rabu lalu.
Kerajaan negeri menyokong penuh Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) yang di lancarkan oleh Perdana Menteri untuk menghasilkan sistem pendidikan berteraskan aspirasi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan yang mampu lonjakkan ekonomi negara.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, generasi hari ini dilihat cepat matang dan semakin cerdik dan memang perlu kerajaan melakukan sesuatu untuk masa depan negara yang gemilang.

“Pelan pendidikan baru ini mungkin akan memendekkan masa pelajar di sekolah rendah kepada lima tahun sahaja begitu juga tempoh belajar di sekolah menengah,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Pesara Kerajaan di Wisma Darul Iman Rabu (12 September 2012).



Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi KUPKKM Terengganu Dato’ Haji Muhatar Abdullah.

Katanya, dalam erti kata lain ketika usia 21 tahun mereka dah tamat belajar di universiti dan ia lebih menguntungkan dari segi tenaga kerja dan memberi kesan kepada pembangunan negara.

“Usaha lahirkan generasi yang berilmu bukan saja bergantung kepada pembacaan semata-mata tetapi juga kriativiti dan kepantasan mereka berfikir serta bertindak ketika berdepan apa saja,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Perdana Menteri berkata, pendidikan bukan hanya satu elemen yang sangat penting dalam pembangunan peribadi seseorang insan, malah ia merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Jelasnya, ini menggalakkan kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan para belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran dan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Sasaran yang ditetapkan adalah tinggi namun ia boleh dicapai termasuk meningkatkan standard negara daripada tergolong dalam kumpulan terbawah kepada paling atas bagi penilaian antarabangsa seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun. Sasaran lain, katanya, membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak bangsa menghargai identiti unik negara sebagai rakyat Malaysia.

"Transformasi sistem pendidikan bukan satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran.

Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja kerajaan dan Kementerian Pelajaran yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.

"Daripada ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki," tegasnya

Teganukita

No comments:

Post a Comment