Thursday, September 20, 2012

KOAM - Wan Hisham Tanding Naib, Shahidan Hadapi Saingan Tiga Penjuru

Shahidan dan Karim...pertahan jawatan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim dijangka terus mengekalkan jawatan yang disandangnya selepas menjadi calon popular bagi merebut kerusi itu pada mesyuarat pemilihan jawatan utama kesatuan Ahad ini.

Seramai 45 ahli gabungan, tiga wakil daripada 15 gabungan KOM akan mengundi pada pemilihan itu. Bagi jawatan Timbalan Presiden, jawatan yang kini disandang oleh Datuk Karim Ibrahim itu turut berdepan pertandingan tiga penjuru.

Karim yang menerima pencalonan dari Melaka dan Sabah akan ditentang oleh Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang dicalonkan oleh Terengganu dan Perak dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor K.Yogeswaran yang dicalonkan oleh negerinya sendiri.

Shahidan yang mula menjadi presiden KOM sejak 2006 bagaimanapun menghadapi pertandingan tiga penjuru apabila dicabar oleh Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Shahidan menerima empat pencalonan dari Persatuan Olahraga Amatur Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Perlis manakala Zainal Abidin dicalonkan oleh Negeri Sembilan dan Danyal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis membuka sampul pencalonan bagi pemilihan jawatan utama KOM dilakukan penolong setiausaha kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), T.Kumar yang dilantik bagi memastikan proses pemilihan itu berjalan telus dan lancar.

Proses pengundian akan dijalankan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) KOM yang akan berlangsung di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil pada 11 pagi Ahad ini.


Bagi empat jawatan naib presiden, sebanyak sembilan pencalonan diterima. Antara calon popular bagi jawatan itu ialah penyandang jawatan Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar dan Datuk R.Annamalai, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Kedah P.Solomon, Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor R.Rajasegram, Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Rajemah Sheikh Ahmad dan Presiden Olahraga Amatur Sabah Datuk Paiman Abdul Karim. Calon lain ialah Mohamad Awang dari Persatuan Olahraga Amatur Kelantan, Brigadier Jeneral Yusri Anuar dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan K.Yogeswaran.

Yusri bagaimanapun menerusi sepucuk surat kemudian menarik diri daripada pemilihan Ahad ini. Shahidan berkata, kelewatan proses membuka sampul pencalonan yang sepatutnya dibuat pada 11 September, adalah akibat sedikit kesilapan pada perlembagaan baru kesatuan itu.

"Pegawai pengundian T.Kumar dari MOM mendapati terdapat sedikit percanggahan dalam perlembagaan baru KOM dan kes ini diserah kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

"Kesilapan itu ialah dari segi perkataan 'biennially' dan bukannya 'triennially', yang merujuk tempoh jawatan dalam KOM.

Sepatutnya ditulis biennially, merujuk kepada tempoh dua tahun, dan bukan triennially (tiga tahun)," katanya. Shahidan berkata, atas nasihat PPS, beliau menghubungi kesemua badan gabungan KOM semalam dan kesemuanya bersetuju, kesilapan itu adalah kecil dan boleh dipinda pada mesyuarat Ahad ini.

No comments:

Post a Comment