Thursday, September 20, 2012

Pusat Latihan Gajah Pengkalan Gawi Tarikan Terbaharu Ke Tasik Kenyir Tahun Depan

Pelajar  UniSZA gembira kad diskaun Siswa 1Malaysia disediakan untuk mereka.
Terengganu akan mewujudkan sebuah Pusat Latihan Gajah di Pengkalan Gawi dekat Tasik Kenyir, 40 km dari Bandar Kuala Berang di Hulu Terengganu, sebagai satu lagi daya tarikan terbaharu pelancong.

Projek yang dijangka siap menjelang Februari tahun depan itu seiring dengan usaha memperhebatkan promosi menarik pengunjung ke kawasan pelancongan Tasik Kenyir yang akan dijadikan pulau bebas cukai tidak lama lagi dan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata walaupun konsep Kem Gajah yang kini 30 peratus siap itu sama seperti kem di tempat lain iaitu Kuala Gandah di Lancang, Pahang dan Chiang Mai, Thailand, kerajaan negeri mempunyai kelainan tersendiri untuk menarik pelancong.

Kem di kawasan seluas 100 hektar di Pengkalan Gawi itu akan dijadikan pusat pertunjukan gajah dan pada masa sama sebagai kawasan pemeliharaan haiwan itu.


"Bagi peringkat awal ini, Jabatan Perhilitan telah memberikan lapan ekor gajah tetapi kami akan meminta tambahan lagi. Kami akan ambil jurulatih dari Thailand untuk menjinakkan dan melatih gajah ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kad diskaun Siswa 1Malaysia di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, kelmarin.

“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah.

Malah, di situ juga ada kawasan menyusuri hutan dan kita mengenal pasti lokasi air terjun..pengunjung menaiki gajah dan menyusuri bawah air terjun. Selain itu, terdapat sungai yang cantik yang boleh dijadikan kawasan perkelahan.

“Kesemua gajah ini akan membuat persembahan di depan pengunjung dan haiwan ini akan dilatih oleh jurulatih daripada Thailand,” katanya.

Buat buat permulaan lapan ekor gajah akan dibawa ke kem itu, sebelum tambahan dua ekor lagi untuk menjadikan kesemuanya 10 ekor yang diagihkan ke tiga komponen utama itu.

Sementara itu, beliau berkata, komponen kedua akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.

Menurutnya, empat stesen turut dibina bagi menghubungkan jambatan gantung berkenaan dengan satu daripadanya stesen paling tinggi yang membolehkan pengunjung meninjau keseluruhan kawasan Empangan Kenyir.

“Sementara (komponen) ketiga, di luar pagar elektrik, kita menyediakan pelantar yang berada pada kedudukan tinggi untuk keselamatan.. di situ kita sediakan makanan mungkin dua kali sehari untuk sesi pagi pada 11 pagi hingga 1 petang, dan waktu petang pula pada 1 hingga 3 petang .

“Pengunjung yang memasuki kawasan itu perlu membuat bayaran disebabkan kos menyediakan makanan untuk gajah mahal. Jadi kalau mereka mahu melihat gajah liar dan memberi makan gajah perlu dikenakan caj lain pula, selain bayaran masuk untuk ke kem berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, fasa terakhir projek kem gajah berkenaan adalah kerja menyiapkan dua chalet (permulaan) atas pokok, di mana pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan itu sebelum pengunjung perlu menggunakan tangga yang boleh dilipat untuk ke tempat penginapan mereka.

“Apabila tidak digunakan tangga itu akan dilipat naik ke atas bagi mengelak gangguan gajah. Gajah tidak sampai (ke chalet) bagi memastikan keselamatan pengunjung.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata projek menyiapkan kem gajah itu siap 10 peratus lebih awal berbanding sasaran kerja dengan keseluruhan siap 30 peratus.

Katanya, projek yang dijadualkan siap April tahun depan dijangka dapat disiapkan dua bulan lebih awal daripada tarikh sebenar.


Bernama & Teganukita

No comments:

Post a Comment