Tuesday, September 4, 2012

Maidam Naik Taraf 2 Unit Sebagai Jabatan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) akan menaik taraf dua unit sebagai jabatan sempena ulang tahun ke-100 penubuhan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata dua jabatan berkenaan ialah Jabatan Baitulmal serta Jabatan Penguatkuasaan dan Pendakwaan.

"Ini antara usaha penambahbaikan demi kesejahteraan umat Islam negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JHEAT, di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh dan Pengarah JHEAT Samsiah Awang. Pada masa ini terdapat empat jabatan di bawah Maidam iaitu JHEAT, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan Jabatan Fatwa manakala segala urusan berkaitan baitulmal dan penguatkuasaan serta pendakwaan diletakkan di bawah satu unit seliaan Maidam.

Mazlan bagaimanapun menegaskan tidak ada pertambahan penjawat baharu bagi mengisi jawatan tertentu susulan penstrukturan semula tersebut.

"Kalau ada pun, ia perlu melalui prosedur biasa iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam untuk meluluskan pengisian jawatan.

"Penstrukturan semula ini juga seiring dengan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) pindaan 2012 yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri April lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment