Wednesday, September 5, 2012
Mat Hassan Rindu Kepulangan Anak Pada Shawal
Walaupun sudah 17 hari umat Islam menyambut Syawal namun sepanjang tempoh itulah, seorang warga emas, Mat Hassan Ali, 67, dari kampung ini dekat Pasir Akar, Hulu Besut berduka kerana tidak ada seorang pun daripada 12 anak datang menjenguk.
Tatkala mendengar takbir raya, dia pasti mengalirkan air mata kerana saat kemeriahan bersama anak isteri empat tahun lalu sudah tidak dirasai lagi, sebaliknya hanya tinggal kenangan yang terus subur dalam lipatan memorinya.
Dia sering termenung seorang diri di serambi pondok buruknya yang terletak agak tersorok di dalam dusun durian di penghujung kampung, mengharapkan kepulangan anak untuk datang menjenguknya.
“Alhamdulillah tiga daripada 12 anak saya berjaya ke universiti dan berjawatan selesa, malah ada menantu hidup senang tetapi saya faham, mungkin kerana jarak atau mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing menyebabkan mereka sukar untuk ke sini, apatah lagi keadaan pondok saya tidak terurus," katanya.
Mat Hassan atau lebih dikenali Pak Ngah Setopa menetap di pondok yang dibina sendiri dengan kayu dan zink terpakai, selepas membawa diri pulang ke sini dari Lanchang, Pahang setelah berpisah dengan isteri.
"Saya pulang sebatang kara dan mujurlah ada tanah kebun pusaka di sini untuk saya bina pondok walaupun tanpa kemudahan asas sehingga terpaksa menggunakan pelita minyak tanah.
“Saya bersyukur walaupun serba kekurangan tetapi buat masa ini saya tidak berdepan sebarang masalah kesihatan. Saya makan pun ala kadar sahaja,” katanya sayu.
Menurutnya, dia merantau ke Pahang sejak 1969 ketika masih bujang dan dikurniakan 12 anak selepas mendirikan rumah tangga.
Mereka kini berusia antara 17 hingga 38 tahun. Katanya, dia redha sekiranya anak-anak tidak ingin menjenguknya tetapi jauh di sudut hati, dia amat merindui mereka khususnya pada Syawal ini.
"Sebelum ini, anak keenam saya ada datang berjumpa saya, itu pun semata-mata untuk mendapatkan persetujuan saya sebagai wali kerana ingin berkahwin dengan pegawai tentera," katanya.
Sementara itu, keperitan hidup Pak Ngah Setopa mendapat perhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat apabila dia mendapat bantuan bulanan JKM dan pelbagai bantuan Kerajaan Pusat dan Negeri
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment