Wednesday, September 5, 2012

MKN Terengganu Sedia Hadapi Banjir Tahun Ini

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu sudah bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku pada Oktober dan November nanti.

Setiausaha MKN Terengganu Tajul Ariffin Muhamad berkata hasil mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) 16 Ogos lalu, pihaknya berpuas hati dengan segala persediaan yang dirancang.

"Jabatan Pengairan dan Saliran memasang 25 siren amaran banjir di kawasan yang sering berlaku banjir iaitu lima di Besut, Setiu (enam), Kemaman (empat), Hulu Terengganu (lima), masing-masing dua di Dungun dan Marang, serta satu di Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita di majlis jamuan hari raya MKN di Kuala Terengganu, semalam.

JPBN jugamemasang empat kamera web di beberapa lokasi berisiko tinggi bagi tujuan memantau keadaan banjir di kawasan tersebut dan boleh ditonton pada waktu sebenar.

Empat lokasi tersebut ialah Kampung Gong Terap dan Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh di Setiu, Jambatan Jertih dan Kampong La di Besut yang dikenal pasti sebagai kawasan paling teruk dilanda banjir.

Selain itu, Tajul Ariffin berkata sebanyak 353 pusat pemindahan banjir akan dibuka untuk menempatkan mangsa banjir berbanding 347 pusat pada tahun lepas.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat juga bersedia stok makanan kering, barangan keperluan diri serta perubatan," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata banjir pada tahun ini dijangka tidak seteruk tahun lepas berikutan jumlah taburan hujan di Terengganu setakat ini hanya 3,400 milimeter.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah taburan hujan ialah 1,500 milimeter namun MKN sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Katanya Polis Diraja Malaysia akan memperbanyakkan sekatan jalan raya dan mempergiatkan rondaan ketika musim tengkujuh bagi mencegah kejadian jenayah. "Berdasarkan pengalaman kita, terdapat penduduk yang enggan berpindah kerana risaukan keselamatan harta benda mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment