Monday, September 24, 2012

Pelumba TSG Sukar Digugat Di GP Sarawak 2012

Juara kategori junior, Mohd. Iskandar (tengah) bersama pemenang tempat kedua, Muhammad Imran (kiri) dan Abdul Arif.
Pasukan basikal Terengganu,  TSG  meneruskan penguasaan dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan 2012 Sirkit Sarawak (GP Sarawak) apabila pelumbanya, Mohd. Saiful Anuar Aziz muncul juara pada perlumbaan sejauh 184 kilometer di Politeknik Kuching semalam.

Selepas mendominasi acara ujian masa individu (ITT) kelmarin, TSG yang kini dianggap kelab benua terkuat di Asia menampilkan seorang lagi pelumba berbeza iaitu Mohd. Saiful Anuar untuk meneruskan penguasaan dalam acara lebuh raya.

Kelmarin, Mohd. Nor Umardi mengungguli acara ITT elit lelaki untuk menewaskan dua pelumba ternama, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti dan Ng Yong Li.

Semalam, Muhammad Fauzan adalah antara beberapa pelumba kebangsaan yang gagal menamatkan perlumbaan gara-gara masalah tayar bocor.

Paling menarik, Mohd. Saiful Anuar semalam melakukan pemecahan solo tatkala perlumbaan berbaki tiga kilometer untuk meninggalkan rakan sepasukan, Mohd. Nor Umardi Rosdi dan pelumba pasukan Customs Cycling Team dari Indonesia, Heksa Priya Prasatya untuk menang dengan catatan masa 4 jam 51 minit 20 saat dengan purata kelajuan 37.83 kilometer sejam.

Dia meninggalkan dua pesaing terdekat dengan kelebihan 3:07s sekali gus memastikan TSG kekal selaku kuasa sukan berbasikal di Malaysia ketika ini.

"Saya terpaksa mengambil keputusan untuk keluar pada 3km terakhir. Saya lihat rakan sepasukan (Mohd. Nor Umardi) dan seorang pelumba Indonesia serta Muhammad Rauf (Nur Misbah) tetap memberi saingan getir kepada saya.

"Namun saya rasa, saya boleh melakukan pemecahan solo dan meminta pertolongan rakan sepasukan untuk mengawal pergerakan pesaing lain.

Akhirnya kami berjaya memastikan TSG menang perlumbaan ini," katanya. Jurucakap GP Sarawak 2012, Zulaihi Seri pula mengaku berbangga kerana Kuching berjaya menjadi penganjur perlumbaan paling jauh dalam sejarah GP Kebangsaan sejak ia dimulakan pada 2010.

"Hari ini (semalam) kami mengadakan perlumbaan elit lelaki sejauh 184km sedang sebelum ini rata-rata perlumbaan hanya sejauh 140km, 150km atau 160km. Kami buat begini kerana mahu menguji standard sebenar pelumba Malaysia," katanya.

Acara elit wanita sejauh 115 kilometer pula menyaksikan Jupha Somnet menggunakan sepenuhnya kepakaran selaku jaguh trek apabila menewaskan dua pelumba lain dari Terengganu dan Kedah, Nur Suhada Zainal serta Masziyaton Mohd. Radzi.

Semua pelumba tersebut merakam masa 3:30.40s tetapi Masziyaton masih mampu mengekalkan jersi merah jambu selaku pendahulu kutipan mata elit wanita GP Kebangsaan 2012 sehingga ke pusingan seterusnya di Lumut pada awal November nanti.

Pelumba junior Terengganu turut membuktikan betapa mereka kekal kuasa dominan tunggal di negara ini ketika ini apabila Mohd. Iskandar Fitri Ahmad Sabti melakukan tindakan bijak dengan memecut lebih awal pada garisan 200 meter ke penamat untuk mengecewakan tonggak Selangor, Muhammad Imran Mohd. Zubir. Mohd. Iskandar Fitri merakam masa 2:35.29s untuk mencicirkan Muhammad Imran dengan kelebihan satu saat manakala seorang lagi pelumba Terengganu, Abdul Arif Abdul Rahman menduduki tempat ketiga dengan perbezaan masa 1:34s

Kosmo!

No comments:

Post a Comment