Monday, September 24, 2012
Penduduk Wakaf Mempelam Gembira Sambut Kunjungan TPM Esok
Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menyambut baik kunjungan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin ke DUN itu sempena lawatan rasmi sehari ke Terengganu,esok (25 September).
Selaku `tuan rumah’ DUN berkenaan, Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata kunjungan orang nombor dua negara itu diharap mampu membawa gelombang perubahan kepada penduduk DUN Wakaf Mempelam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Lawatan beliau bukan sahaja memberi mesej bahawa Terengganu negeri yang cukup mendapat tumpuan pemimpin tertinggi, malahan kehadiran ke Wakaf Mempelam mencerminkan pemimpin nombor dua negara itu optimis untuk membawa angin perubahan yang dibentuk kepimpinan Barisan Nasional dan Umno,” katanya kepada Teganukita, semalam.
Wan Mahyuddin selaku Pegawai Pembangunan DUN berkata, Badan Perhubungan Umno Terengganu sedang melakukan persiapan rapi dan mengatur segala keperluan berkaitan sambutan dan juga perjalanan sepanjang lawatan sehari TPM itu.
Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai supaya menyertai setiap program yang dijadualkan sebagai tanda sokongan terhadap kehadiran pemimpin negara itu. Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dijadualkan meluangkan masa bersama rakyat semua golongan di majlis ‘Sepetang Bersama TPM, di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.30 petang.
Pada sebelah malamnya, beliau dijangka akan merasmikan Seminar Pendidikan Negara yang membabitkan penyertaan semua pegawai pelajaran negeri dan daerah seluruh negara bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Puan Anisa Awang, 28, dari Kampung Kubang Parit, berkata kehadiran TPM sesuatu yang ditunggu-tunggu dan mungkin membawa berita gembira kepada rakyat di kawasan yang sudah sekian lama dinaungi pembangkang itu.
“Lawatan ini bukan sahaja bakal membawa dimensi baru kepada rakyat, malah membuktikan negeri dan kawasan kita menjadi pilihan pemimpin negara yang sentiasa cakna dan prihatin, malah membawa pelbagai pembangunan untuk dinikmati seluruh penduduk tanpa ada yang terpinggir,” katanya.
Seorang ibu tunggal, Puan Zuraidah Awang, 40, yang turut dijemput ke majlis bersama TPM di SMK Sultan Ahmad berhasrat memenuhi jemputan itu sebagai tanda sokongan dengan kepimpinan yang dibawa Umno dan BN. “BN dan Umno yang menjaga kebajikan rakyat termasuk golongan ibu tunggal selama ini.
Pelbagai dana dan juga kemudahan disediakan yang membuktikan mereka menunaikan janji sebagaimana slogan `Janji Ditepati’.
“ Jadi, sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pucuk pimpinan, tidak salah kita meluangkan masa menghadiri majlis itu nanti. Bukan perlu menghabiskan wang ringgit dan tenaga sebaliknya hanya meluangkan sedikit masa sahaja,” katanya lagi.
Teganukita
No comments:
Post a Comment