Saturday, September 22, 2012

Pertemuan 20 Minit Jadi Harapan Baru Untuk Butler?



Perkembangan terbaru berhubung kes Peter Butler cukup menarik selepas pertemuannya dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kelmarin.

Butler yang sudah menerima surat pemecatan dan pengesahan penggantungan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak boleh memberitahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu.

Pertemuan itu dikatakan diaturnya dengan kerjasama Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria.

Sebelum itu PBSNT dikatakan menamatkan khidmat ketua jurulatihnya, Peter Butler dengan memberi sebulan notis atau membayar sebulan gaji sebagai pampasan. Surat penamatan kontrak yang ditandatangani

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh diserahkan kepada jurulatih berbangsa Inggeris berusia 46 tahun itu, kelmarin.

Abdullah semalam berkata, seperti termaktub dalam perjanjian, jurulatih yang digantung daripada aktiviti bola sepak selama sebulan atau lebih boleh ditamatkan kontraknya.

Sehubungan itu, katanya dalam kes Butler, PBSNT berhak menamatkan kontraknya kerana jurulatih itu kini menjalani hukuman penggantungan selama enam bulan.

“PBSNT cuma perlu memberi sebulan notis atau membayar sebulan gaji sebagai pampasan untuk menamatkan kontraknya yang masih berbaki 15 bulan itu,” katanya.

Berdasarkan surat diberikan kepadanya kelmarin, jurulatih berusia 46 tahun itu yang digantung enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib PBSNT boleh dibuang begitu saja kerana termaktub dalam kontrak.

Menurut Butler, perkara sama berlaku ketika beliau menjadi jurulatih Kelantan tahun lalu apabila dipersalahkan kerana bercakap kepada media tanpa kebenaran pengurusan.

“Mungkin Menteri Besar akan mengumumkan apa yang kami bincangkan tapi saya cuma boleh katakan pertemuan itu membuatkan saya boleh tidur lena semula.

“Yang penting, beliau mahukan yang terbaik untuk bola sepak negeri ini dan itu jugalah yang saya mahu walaupun orang penting PBSNT tidak percaya semua itu,” katanya. 

Harian Metro & Berita Harian

No comments:

Post a Comment