Thursday, September 6, 2012

Politeknik Hulu Terengganu Lahirkan Graduan Perintis

Mohd. Nasir Hashim dan Zuriyati Abdul Halim gembira atas kejayaan anak mereka, Mohd. Fathie yang menerima Anugerah Pengarah Politeknik pertama pada Majlis Konvokesyen Politeknik Hulu Terengganu di Kuala Terengganu, baru-baru ini
Buat kali pertamanya Politeknik Hulu Terengganu (PHT) mengadakan majlis konvokesyennya minggu lalu dengan mengeluarkan 101 graduan perintis.

Konvokesyen ini dianggap sebagai landasan bagi memperkenalkan PHT yang sebelum ini agak kurang dikenali sebagai salah satu institusi pilihan utama pelajar bagi menimba ilmu dalam pelbagai bidang.


Majlis ini memberi makna yang besar kepada graduan setelah bertungkus lumus selama tiga tahun menamatkan pengajian dan juga keluarga yang menaruh harapan tinggi untuk melihat anak mereka berjaya.

Selain itu, majlis tersebut adalah rentetan awal sejarah PHT yang pada mulanya beroperasi sebagai Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun pada tahun 2008 sebelum berpindah ke bandar Kuala Berang pada 2010.

Premis yang dijadikan kampus disewa daripada pihak berkuasa tempatan dan ia agak terbatas dari segi jumlah pelajar dan keluasan persekitaran. Namun, ia tidak menjejaskan proses pengajian dan pembelajaran sementara menunggu kampus kekal yang lebih kondusif menjadi kenyataan.

Kumpulan graduan pertama politeknik itu terdiri daripada 66 orang lulusan Diploma Perakaunan dan 35 orang Diploma Pelancongan menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen yang diadakan di Taman Tamadun Islam dekat sini. Penyampaian disempurnakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman yang turut diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Pengajian Politeknik, Shabudin Man serta Pengarah Politeknik Hulu Terengganu, Che Ku Amran Che Ku Ali.

Che Ku Amran berharap, konvokesyen pertama PHT itu dapat memberi suatu gambaran yang lebih positif daripada masyarakat tentang kepentingan kewujudan pusat pengajian itu di kawasan berkenaan.

Katanya, ia mampu menarik lebih ramai pelajar lepasan sekolah untuk mengikuti program di politeknik dan menjadikannya antara institusi pilihan utama untuk menuntut ilmu, khususnya masyarakat sekitar.

Justeru, bagi memenuhi permintaan permohonan pengajian di politeknik itu, pihaknya berhasrat mahu menambah lebih banyak kursus di PHT dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Tambahnya, pada masa ini, politeknik itu yang kini mempunyai seramai 389 pelajar hanya mampu memuatkan kapasiti seramai 450 pelajar pada satu masa berikutan kemudahan yang terhad.

"Oleh itu, kita berharap rancangan pembinaan politeknik ini di tapak baru di Kampung Kuala Jeneris berhampiran persimpangan Tasik Kenyir itu bakal menjadi kenyataan," katanya.

Sebelum ini, satu kawasan seluas 40 hektar digazetkan bagi membina kampus PHT yang baru dengan projek berharga RM184 juta, namun pembinaannya tertangguh berikutan masalah teknikal dan tapak yang tidak sesuai.

Bagaimanapun, perkara tersebut dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ahmad Razif, politeknik tersebut tetap dibina di daerah itu dan sama sekali tidak akan berpindah ke kawasan lain, cuma masanya tidak diketahui.

Kerajaan negeri turut mengambil kira cadangan beberapa pihak untuk membina kampus itu di kawasan padang ragut Tersak di Kampung Tanjung Putat atau dekat Stadium Mini Kuala Berang.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment