Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) yang bergerak cergas dalam bidang pertanian akan mengorak langkah melabur lebih RM5 juta dalam sektor pembangunan hartanah tempatan yang bermula di Dungun selewatnya hujung tahun ini bagi mengukuhkan lagi ekonomi pertubuhan itu.
Pengurus Besarnya, Shawalludin Ahmad berkata fokus utama PPNT buat masa ini adalah mendirikan bangunan komersil bagi tujuan perniagaan di atas tanah terbiar milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di daerah Dungun
"Sekarang ini, kita mahu melangkah dan fokus terhadap pembangunan hartanah sebab terdapat banyak tanah LPP tetapi tidak dibangunkan sepenuhnya."
"Ini seterusnya mampu menjana pertumbuhan ekonomi PPNT," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Dua bidang tanah milik LPP yang tidak dibangunkan iaitu masing-masing di Jalan Bijangga dan Pulau Serai di Dungun.
Di Jalan Bijangga, katanya PPNT bercadang mendirikan bangunan setinggi empat tingkat di mana tingkat bawahnya akan dijadikan ruang berniaga manakala tingkat dua dan tiga akan dijadikan hotel bajet sementara tingkat atas dijadikan dewan serba guna untuk tujuan sewa tapak perkahwinan mahu pun seminar.
Beliau berkata projek yang serupa juga akan dilaksanakan di Pulau Serai di mana setiap projek masing-masing dijangka menelan belanja kira-kira RM2.4 juta.
Shawalludin berkata anak syarikat PPNT iaitu Gapets Sdn Bhd telah diamanahkan untuk melaksanakan kedua-dua projek tersebut yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Selain itu, bagi memantapkan lagi pembangunan hartanah PPNT, pihaknya juga akan membeli sebuah bangunan tiga tingkat dengan nilai lebih RM1 juta di Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini sebagai aset.
"Kita telah pasti akan membeli bangunan itu kerana kedudukannya tidak jauh dari bandar dan juga strategik kepada orang ramai yang diharap akan dapat menyumbang kepada PPNT pada masa depan," katanya.
Menurutnya, PPNT juga berminat membeli beberapa lagi bangunan sebagai aset pada masa depan sekiranya kewangan mengizinkan.
Selain itu, beliau berkata PPNT akan membantu kerajan negeri membangunkan tanah pinggir di negeri itu dengan tanaman serta ternakan komersil yang boleh meningkatkan ekonomi negeri bagi menjana penambahan agro makanan negara.
"Buat permulaan, kita akan bangunkan lebih kurang 80 hektar di kawasan Sungai Tongkat Langkap, Setiu dengan tanaman sawit menjelang tahun depan.
No comments:
Post a Comment