Thursday, September 6, 2012

Sakit Pinggang - Adiq Husainie Lupakan Acara Lebuh Raya Belanda


Selepas percubaan memberikan impak di temasya Sukan Olimpik, London tidak tercapai, impian pelumba lebuh raya terbaik negara, Adiq Husainie Othman untuk beraksi sekali lagi menentang pelumba handalan di Kejohanan Dunia dalam acara lebuh raya di Belanda terpaksa dilupakan.

Adiq terpaksa menjalani rawatan selepas mengalami masalah kesihatan dan dinasihatkan untuk berehat sekurang-kurangnya empat minggu.

Pelumba kelahiran Terengganu yang merangkul pingat perak di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dalam kategori Bawah 23 Tahun Februari lalu itu dilapor mengalami sakit pinggang ketika mula menjalani latihan sejurus selepas hari raya ketiga.

Menyedari bukan rezekinya, Adiq dinasihatkan doktor untuk berehat dan hanya menjalani latihan ringan dan rawatan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN).

“Sakit pinggang ini sudah hampir dua minggu. Doktor mengatakan urat pada otot pinggang saya terputus dan memerlukan masa untuk kembali pulih.

Saya akan terus berada di Malaysia untuk menjalani rawatan. “Kecederaan belakang ini bukanlah kali pertama, sebelum ini pernah mengalaminya dan ketika itu saya menjalani rawatan di Melbourne pada 2009 sebelum Kejohanan Remaja Dunia berlangsung dan kali ini saya cuba menjalani rawatan di ISN pula.”

Katanya, kecederaan berulang itu menyebabkan dia yang mewakili pasukan profesional benua, Champion System, terpaksa melupakan hasrat beraksi di Jelajah China yang bermula dari 7 hingga 18 September ini dan juga Kejohanan Dunia pada 21 September.

Mengulas kecederaan itu, Adiq yang kini menduduki ranking kesembilan Asia berkata, kecederaan itu mungkin disebabkan latihan keras yang dilakukan minggu lalu. “Saya amat berharap kecederaan ini akan pulih dengan cepat kerana mahu segera berkayuh,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment