Thursday, September 27, 2012

Terengganu Tubuh Pasukan Hoki Hadapi Saingan Liga Kebangsaan Musim Depan

Terengganu akan menubuhkan sebuah pasukan hoki negeri dibarisi pemain muda bagi persiapan menyertai Liga Hoki Kebangsaan, mulai tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, skuad hoki tersebut akan dikendalikan Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dengan memperoleh dana daripada kerajaan negeri.

"Kita akan kumpul pemain-pemain hoki Terengganu mulai sekarang untuk menyertai Liga Hoki Kebangsaan tahun depan. Bagi mencapai hasrat ini, kita akan mula daftarkan pasukan tahun ini juga," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Ahmad Said, sudah tiba masanya Terengganu mempunyai pasukan hoki sendiri memandangkan ia mempunyai ramai pemain berbakat yang berjaya mencipta nama dalam kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, PHNT bertanggungjawab mengatur segala persiapan skuad hoki tersebut termasuk aspek mengumpulkan pemain berbakat dan mencari jurulatih berkaliber.

No comments:

Post a Comment