Kerajaan negeri Terengganu kini bersedia menerima kunjungan pasukan siri jelajah pelayaran profesional terbaik dunia dalam Piala Monsun yang akan berlangsung dari 3 hingga 8 Disember ini di Pulau Duyong.
Acara itu, yang akan berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, akan didahului oleh Kejohanan Sirkit Match Racing Malaysia (MMRC) edisi ketujuh dari 28-30 November bagi mengisi satu slot wildcard pasukan tempatan ke Piala Monsun 2012 bersama 11 lagi pasukan pelayaran handalan dunia.
Acara kemuncak akan mengambil tempat selang tiga hari kemudiannya dengan Piala Monsun menjadi destinasi terakhir buat para pelayar dalam perlumbaan berprestij World Match Racing Tour (WMRT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Terengganu Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata untuk tujuan itu, lima acara pelayaran mengisi Kalendar Bulan Pelayaran Terengganu sepanjang November ini menjelang acara kemuncak Piala Monsun.
Katanya pembuka tirai acara ini adalah KFC Monsoon Regatta dari 8 hingga 11 November yang dianjurkan Persatuan Pelayaran Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Malaysia dan T-Best Events.
"Regatta ini terdiri daripada pertandingan maraton dan 'fleet race' yang melibatkan kapal layar Optimist, Laser, International 420 dan 'windsurfing'," katanya pada sidang media sempena mempromosikan Bulan Pelayaran Terengganu 2012, di Kuala Terengganu, semalam.
Abdul Rahin berkata acara pertama sempena bulan pelayaran itu bakal disertai 140 peserta dengan 78 daripadanya merupakan pelayar Optimist berumur bawah 15 tahun.
Beliau berkata, acara berikutnya adalah Mari Belayar yang diadakan selama dua hari bermula 16 November ini yang terbuka kepada peserta berumur 12 tahun ke atas yang bertujuan menanam minat dan menggiatkan promosi serta pendedahan terhadap sukan layar kepada orang ramai.
Abdul Rahin berkata, acara pelayaran lain yang mengisi kalendar bulan pelayaran negeri termasuk Heritage Bay Cup dan Motour Tourism Cup pada 23 dan 24 November yang memasuki edisi keempat penganjuran dan dijalankan tiga kali setahun.
Menurutnya acara MMRC yang berlangsung tiga hari itu merupakan lokasi terakhir sirkit bagi menentukan wakil negara yang bakal mewakili Malaysia ke Piala Monsun nanti.
Sirkit keempat MMRC yang juga sirkit penentuan kejuaraan bakal berlangsung di Pulau Duyong, di sini selepas berakhirnya tiga sirkit, iaitu di Lumut, Perak (11-13 Mei), Pulau Indah, Selangor (29 Jun-1 Julai) dan Tanjung Leman, Johor (28-30 September).
No comments:
Post a Comment