Wednesday, October 31, 2012
Soalan Bocor - MB Anggap Tuduhan Khiana, Fitnaht
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan dakwaan sesetengah pihak ada soalan bocor bagi peperiksaan awam di negeri ini merupakan satu tuduhan khianat kerana kurang senang dengan kecemerlangan pelajar tempatan.
“Ini satu fitnah, mereka seolahnya tidak mahu mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu yang bertungkus lumus belajar untuk dapat keputusan terbaik,” katanya kepada pemberita di majlis Pengagihan Komputer Riba kepada Guru-guru Tahun 5 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam.
Katanya, pihak yang membuat tuduhan itu juga tidak mengiktiraf kerja keras guru-guru di negeri ini yang mengadakan kelas tambahan, menyediakan soalan latihtubi yang di akses terus ke e-Book pelajar-pelajar Tahun 5.
Menurutnya, ekoran daripada dakwaan berkenaan, pihak Kementerian Pelajaran telah menghantar sekumpulan pemantau baru-baru ini untuk menyiasat dakwaan.
Kumpulan pemantau berkenaan telah ke daerah Besut kerana daerah itu mempunyai jumlah pelajar tertinggi mendapat keputusan cemerlang dalam ketiga-tiga peperiksaan awam tahun lalu.
“Saya difahamkan mereka tidak jumpa sebarang bukti dan guru kita jujur dan amanah menjalankan tugas mendidik anak bangsa di negeri ini,” katanya.
Menteri Besar juga kesal terhadap dakwaan pemimpin pembangkang melalui pentas ceramahnya mengatakan 12 peratus kadar keciciran pelajar ke sekolah menengah di negeri ini akibat kemiskinan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat ke sekolah menengah bukan kerana masalah kemiskinan.
“Kerajaan menyediakan segalanya dengan percuma, baju sekolah, bantuan pelajaran, basikal, buku, kelas tambahan dan sebagainya,” katanya.
Namun begitu, beliau memberi tempoh sebulan kepada Pejabat Pelajaran negeri untuk mencari data baru secara teperinci terhadap keciciran pelajar ke sekolah menengah tahun depan.
“Ini termasuklah jumlah pelajar Tahun 6 berapa, tidak ke tingkatan satu berapa, ke sekolah tetapi ponteng berapa dan yang berhenti separuh jalan berapa ramai, kita nak tengok angka yang betul,”katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment