Dua beradik yang bekerja sebagai buruh binaan mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan dengan niat bersama memberi suapan RM1,850 kepada seorang pegawai polis, Khamis lepas.
Nik Fairoz Amri Nik Soh, 27, dan adiknya Nik Auzan Haris, 25, didakwa memberi suapan kepada Inspektor Mohd Hafizul Ashraff Mohammed dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka kerana memiliki dadah.
Dua beradik dari Kuala Berang, Hulu Terengganu itu didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik No 12 Sederhana Inn, 1483 Tingkat 1, Ibai Landmark Gard, Jalan Tok Adis, Kuala Ibai di Kuala Terengganu, kira-kira pukul 8.55 pagi.
Mereka berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan di bawah pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Hakim Wan Fadhilah Wan Idris menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 Nov depan untuk sebutan kes.
Mereka bagaimanapun gagal membayar wang jaminan.
No comments:
Post a Comment