Sunday, October 14, 2012

RM324,000 Tambah Baik Muara Pantai Tok Jembal

Nelayan menolak bot ke laut pada pelancaran Program Touch Point Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam di Tok Jembal, Seberang Takir, Kuala Terengganu, kelmarin
Kerajaan negeri menguntukkan sebanyak RM324,000 dalam usaha menambah baik muara di Pantai Tok Jembal untuk kegunaan para nelayan di kawasan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sehubungan itu, kerja-kerja penambahbaikan tersebut akan dilaksanakan bermula minggu ini dan dijangka mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

"Sebaik sahaja siap, muara baharu ini secara tidak langsung akan memudahkan para nelayan membawa bot-bot mereka ke laut.

 "Pada masa yang sama, mereka (nelayan) juga boleh meletak dan menyimpan bot dalam keadaan lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Touch Point Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam di Pantai Tok Jmbal klmarin.

Yang hadir sama Pengarah Perikanan negeri, Abdul Khalil Abdul Karim dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohd. Shafee Mohamad.

Ahmad Razif berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Pejabat Perikanan negeri untuk membina sebuah tempat menjual ikan yang lebih tersusun di kawasan itu.

"Saya telah minta Pengarah Perikanan negeri) untuk membuat lakaran dan kita akan mohon peruntukan melalui kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

"Apabila tempat itu siap nanti, nelayan juga boleh menyimpan ikan di situ kerana kita akan bekalkan sekali peti sejuk, bekalan elektrik serta air paip," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji usaha Kumpulan Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Tok Jembal yang telah membuat unjam sendiri.

"Saya bangga melihat semangat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh mereka dalam usaha mengurangkan kos operasi di laut.

"Dengan pembinaan unjam ini, sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk tujuan pengumpulan bagi memudahkan penangkapan lebih banyak ikan," katanya

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment