Thursday, October 25, 2012

Beri Tempoh Dua Minggu Selesai Isu Butler

Che Mat Jusoh tamatkan kontrak Butler...mahu lihat surat rasmi FAM.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat menyelesaikan kemelut yang melanda antara badan induk bola sepak negeri itu dengan jurulatih, Peter Butler dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menasihatkan supaya PBSNT dapat mengambil jalan penyelesaian terbaik dalam usaha menangani masalah yang berlaku antara mereka.

Katanya, beliau tidak mahu terbabit berhubung hal dalaman yang berlaku dalam persatuan dan menganggap keputusan dilakukan PBSNT tidak rasional.

“Pihak pengurusan PBSNT sepatutnya mengambil tindakan lebih rasional dalam berurusan dengan jurulatih.

“Dari awal, saya perhatikan cara mereka mengendalikan isu ini amat mencurigakan termasuk keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin, sebab itu saya tidak mahu campur tangan dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu yang masih membelenggu PBSNT dan jurulatih Peter Butler selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman.

Ahmad Said berkata, ia tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak jika isu ini masih berlarutan. “Apa pun saya berharap mereka (PBSNT) boleh menyelesaikannya dengan Butler dalam tempoh dua minggu.

 “Saya tidak boleh campur tangan berhubung keputusan yang dibuat jawatankuasa disiplin PBSNT dan isu ini sudah cukup lama,” katanya. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengumumkan bahawa tindakan tatatertib yang diambil PBSNT terhadap Butler adalah batal dan tidak sah.

Bagaimanapun Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh mengambil keputusan menamatkan kontrak bekas jurulatih Kelantan itu dan mahu melihat surat rasmi berhubung keputusan dibuat FAM terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment